Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan

14 April 2011

Red Worriors dikejutkan dari diulit lena

Bookmark and Share


SEMUA pemain gagal berfungsi dan kualiti permainan sangat teruk


Red Warriors, Kelantan, Liga Super 2011, Sukan, TRW, sukad yop, seladang, Perak, KAFA, Itu komen pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, ekoran kekalahan memalukan pasukannya yang dibenam Perak 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam kelmarin.

Tanpa menyembunyikan kekecewaan tersebut, beliau memberitahu bahawa satu post-mortem akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kekalahan tersebut yang disifatkan paling buruk dalam tempoh empat tahun.

"Saya pun tidak tahu apa yang berlaku malam semalam. Kita seperti membiarkan Perak bermain dan kita gagal membuat sesuatu untuk menyekat kemaraan mereka. Hasilnya, ia cukup mengecewakan.

"Ini adalah persembahan paling buruk setakat ini dan kita perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan semula moral pemain dan penyokong. Ia perlu dilakukan dengan segera kerana kita tidak mempunyai banyak masa, jadual perlawanan kita cukup padat," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, ini bukan masa yang sesuai untuk menuding jari mencari kesalahan pemain atau jurulatih tetapi ini adalah pengalaman pahit yang cukup berguna sebagai pengajaran dalam mengharungi baki saingan liga.

Jelasnya, beliau tidak menafikan kemenangan besar ketika mengatasi Felda United, Sabtu lalu membuatkan para pemainnya terlena seketika dan terlalu yakin tanpa menyedari kekuatan pasukan lawan.

"Rekod perlawanan di tempat lawan kita musim ini tidak begitu baik. Selepas menang perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor, rekod kita tidak bagus, hanya seri termasuk kalah kepada Pahang dan T-Team.

"Menentang Sabah di Kota Bharu Sabtu ini adalah masa yang terbaik untuk semua pemain membuktikan mereka adalah sebuah pasukan yang baik dan memulihkan semua semangat seluruh penyokong setia mereka," ujarnya.

Katanya, semua pemain, pengurusan dan penyokong tidak perlu panik dengan situasi ini kerana Kelantan masih berpeluang untuk melakukan sesuatu ketika jadual perlawanan masih panjang selain perbezaan mata juga tidak begitu ketara.

Ketika ditanya mengenai situasi 'bilik persalinan' Kelantan ekoran beberapa spekulasi kononnya ada perselisihan antara pemain, Azman menjawab:

"Semuanya tenang, tidak ada apa yang berlaku. Spekulasi ini hanya bertujuan untuk merosakkan pasukan dan saya percaya seluruh pasukan berada dalam keadaan terbaik untuk terus memberi saingan dalam liga," jelasnya-Kosmo


13 April 2011

Liga Super :Perak Belasah Kelantan 4-0

Bookmark and Share

 Liga Super 2011, Perak, Kelantan, Red Warriors, seladang, TRW, Sukan, sukad yop, akmal rizal
IBARAT harimau terluka, Perak tampil tanpa belas ehsan apabila membelasah Kelantan 4-0 dalam persaingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Sebelum memulakan aksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, skuad Kejor Yob Kejor itu tersentak seketika apabila tumpas 1-2 kepada Sabah (Sabtu lalu), sekali gus memadamkan rekod tanpa kalah mereka dalam kempen liga.

Justeru, skuad bimbingan Norizan Bakar itu cuba melupakan kedukaan tersebut dengan mempamerkan persembahan menarik sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Perak tidak perlu menunggu lama untuk mendahului pasukan pelawat apabila rembatan kencang Mohd. Fazrul Hazli pada minit kelima menerjah gawang Kelantan.

Penyerang lincah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli terlepas peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ketujuh apabila percu- baannya sekadar melewati palang gol.

Perak semakin garang mengasak kubu lawan sehingga menyebabkan barisan pertahanan Kelantan terpaksa berkubu di kawasan sendiri.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa bekerja keras menghalang percubaan berbahaya daripada Akmal dan Mohd. Shafiq Jamal.

Lebih 18,000 penyokong Perak kembali bersorak keriangan apabila Shafiq menambah gol kedua pada minit ke-26.

Gol itu bermula daripada hantaran yang dilakukan oleh Akmal dari sebelah kiri pintu gol Kelantan sebelum Shafiq mudah menolak bola ke gawang Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Perak terus bernafsu memburu gol.

Kedudukan Perak semakin kukuh apabila rembatan Akmal ke penjuru kanan Kelantan gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi pada minit ke-78.

Pemain gantian, Razali Umar Kandasamy menambah gol keempat Perak setelah memperdaya dua pertahanan Kelantan pada lewat perlawanan.



01 April 2011

Buku Temu Ruas | Kelantan lwn Harimau Muda A

Bookmark and Share


Barisan Harimau Muda A yang beraksi dalam kelayakan Olimpik





Setelah berehat panjang, Liga Super 2011 kembali membuka tirai dengan pertemuan paling mencuri tumpuan, melibatkan pendahulu liga, Kelantan yang bakal melayan kunjungan "skuad olimpik", Harimau Muda A di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam esok.


Sudah pasti, pertembungan ini ibarat buku bertemu dengan ruas, kerana kedua-dua pasukan dibarisi pemain-pemain terbaik dalam negara. Kedua-dua pasukan yang mengamalkan corak permainan pantas dijangka akan menunjukkan satu kualiti permainan yang menarik untuk tatapan penonton.


Di dalam carta Liga Super, skuad bimbingan Ong Kim Swee berada di kedudukan ke-7, dengan 9 mata, namun mereka kurang satu perlawanan manakala pasukan Kelantan menakluki carta liga dengan 14 mata. Jika Harimau Muda berjaya menewaskan Kelantan, sudah pasti perebutan kejuaraan liga semakin terbuka dengan mengurangkan perbezaan mata kepada 2 mata. Manakala pasukan Kelantan perlu memastikan kemenangan bagi mengukuhkan cengkaman bagi mengelak dipintas Selangor dan Perak yang mengekori rapat Kelantan.


Harimau Muda A, yang rata-rata dibarisi oleh pemain skuad Olimpik negara seperti ketua pasukan, Azmi Muslim, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Fandi Othman, Wan Zack Haikal, Gurusamy, Izzaq Faris,, Irfan Fazail, dan ramai lagi. Paling mencuri tumpuan, ialah pemain tengah meningkat naik, Wan Zaharulnizam Zakaria yang juga anak kelahiran Kelantan yang bakal turun menentang pasukan negeri kelahirannya. Malah, beliau juga perlu diberi perhatian kerana kebolehan beliau menjaringkan gol menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Beliau juga mempunyai kelebihan kerana mampu merembat bola menggunakan kaki kiri dan kanan.


Wan Zaharulnizam perlu diberi perhatian
Selain Wan Zaharulnizam, ada beberapa lagi anak kelahiran Kelantan yang bermain untuk Harimau Muda, seperti Wan Zack Haikal dan juga Ferrish Danial.


Untuk pasukan Kelantan pula, barisan pemain yang ada sudah pasti digeruni lawan. Kelantan mempunyai empat pemain kebangsaan termasuk pemain yang baru mendapat cap pertama bersama skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan lepas, iaitu Rizal Fahmi Rosid. Beliau dijangka akan diberi tugas untuk membimbing posisi pertahanan supaya tidak mudah dibolosi lawan. Selain Rizal, penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu dan penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat sudah pasti menjadi sandaran untuk membawa pasukan memenangi perlawanan.


Jika dilihat dari senarai pemain kedua-dua pasukan, kedua-dua pasukan mempunyai barisan yang seimbang dari segenap posisi. Pemain-pemain bimbingan Ong Kim Swee masih muda, namun dalam usia yang muda, mereka sudah didedahkan dengan pelbagai pengalawan di dalam dan luar negara. Manakala pasukan Kelantan pula di barisi pemain yang muda dan matang dan kelebihan pengalaman sudah pasti akan menjadi penentu kemenangan.


Untuk rekod pertemuan, Kelantan pernah ditewaskan 4-1 oleh Harimau Muda A ketika aksi pemanas badan awal musim. Namun, keputusan perlawanan persahabatan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran, kerana pertemuan malam esok adalah pertemuan sebenar.

www.wawanfaiz.com


18 Mac 2011

Jawapan Balas "Judi Jejas Undi" - Dato' Anuar Tan

Bookmark and Share

KENYATAAN AKHBAR YB DATO HJ ANUAR TAN BIN ABDULLAH SEBAGAI JAWAPAN TERHADAP AKHBAR SINAR HARIAN 17 /3/2011 ‘JUDI JEJAS UNDI’

Sebagai pimpinan dalam PAS yang berjuang berteraskan Islam, kita tidak mengambil kira soal undi sebagai pertimbangan dalam hal perjudian, sebaliknya ketakwaan kepada Allah SWT wajib diutamakan. Menang kalah dalam satu pertandingan hanya merupakan perkara duniawi tapi ketakwaan akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Encik Hu Phang Chaw adalah pandangan yang memberi gambaran kepada masyarakat lain bahawa masyarakat Cina hanya akan memberi undi kepada PAS sekiranya mereka diberi peluang atau hak untuk berjudi adalah amat mengelirukan.

Kenyataan ini jelas akan memalukan masyarakat Cina seolah-olah orang Cina terlibat dengan aktiviti perjudian. Ini tidak benar, hanya sebahagian kecil orang Cina dan bangsa-bangsa lain di dunia ini terlibat dengan aktiviti perjudian.

Dalam konteks masyarakat Cina Kelantan, saya berani katakan bahawa majoriti orang Cina tidak berjudi kerana dasar kerajaan PAS untuk mengharamkan dan tidak mengeluarkan lesen premis untuk berjudi telah dilaksanakan sejak 20 tahun yang lepas kerana masyarakat Cina di Kelantan mempunyai moral dan pendidikan yang tinggi.

Saya sendiri dan sebahagian besar masyarakat Cina mendapat pendidikan di sekolah Cina, dididik oleh guru-guru orang Cina supaya jangan terlibat dengan gejala judi. Dan saya yakin tiada satu guru di dunia ini yang mengajar murid mereka berjudi. Sudah menjadi amalan dan budaya institusi keluarga orang Cina terutama ibubapa mereka daripada awal lagi mendidik anak mereka untuk menjauhi daripada judi.

Yang terpenting, semua agama termasuk agama dan kepercayaan yang dianuti oleh orang Cina semuanya mengharamkan judi kerana judi satu masalah sosial, satu fenomena tanpa mengira agama, kebudayaan, adab resam, falsafah, bangsa dan negara yang perlu dibenteras oleh umat manusia.

Sebagai kerajaan negeri, tanggungjawab kita bukan hanya untuk mentadbir negeri, berkhidmat kepada rakyat dan ianya juga merupakan tanggungjawab kita seboleh mungkin untuk mendidik masyarakat dengan unsur-unsur dan amalan yang murni dan luhur.

Penyokong-penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang bersama dengan perjuangan PAS sepatutnya memahami PAS merupakan satu gerakan untuk menyebarkan syariat Islam untuk membina satu masyarakat yang adil, saksama kepada umat dan bukan hanya untuk meraih undi tanpa mengambil kira hukum halal dan haram.

Isu tiket loteri ini perlu difahami dengan lebih teliti. Tiket loteri yang diperkenalkan dalam tahun 50-an sudah diswastakan dan hari ini namanya adalah ‘ Big Sweep’ seperti TOTO, Magnum 4 Digit dan sebagainya merupakan judi yang membayar cukai dan lesen kepada Kerajaan Persekutuan seperti jenis perjudian yang lain.

Apa yang masyarakat Cina nilaikan terhadap kerajaan negeri, yang penting adalah ‘good governence’ iaitu kerajaan yang adil dalam semua aspek kepada masyarakat berbilang kaum.

DHPP perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan melalui kerajaan tempatan supaya tidak meluluskan lesen premis perjudian. Inilah perbezaan di antara kerajaan PAS dan Barisan Nasional (BN) yang perlu kita jelaskan kepada masyarakat untuk menjadi pilihan mereka.

Sekiranya dasar kerajaan negeri dikatakan bercanggah dengan dasar perjudian Kerajaan Persekutuan yang membenarkan perjudian dan dasar kerajaan Persekutuan boleh memaksa kerajaan negeri untuk membuka ‘flood gate’ dan membenarkan pelbagai aktiviti perjudian di Kelantan, maka serahlah kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan untuk menjawab di akhirat kelak kerana pimpinan kerajaan negeri telah melakukan segala yang boleh dan termampu dalam hal perjudian ini. 
Sekian, terima kasih.

Dato’ Hj Anuar Tan bin Abdullah
Exco Pembangunan Usahawan, Perdagangan & Perpaduan Masyarakat
merangkap ADUN Kota Lama

Pejabat MMK
Kota Darulnaim, Kota Bharu

12 Rabiulakhir 1432H
17 Mac 2011


17 Mac 2011

Kenyataan media : Pendirian Kelantan Berkenaan Isu Judi

Bookmark and Share

Kenyataan media : Pendirian Kelantan Berkenaan Isu Judi


Sebagaimana semua pihak sedia maklum bahawa polisi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 adalah berteraskan prinsip pentadbiran Islam. Dalam isu pengharaman premis judi dan perjudian haram, kerajaan negeri sedia melaksanakan pematuhan kepada ajaran Islam yang tidak membenarkan penganutnya berjudi atau terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan perjudian.

Begitu pula, sebelum pelaksanaan penguatkuasaan larangan premis judi dan aktiviti perjudian dibuat pihak kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak di luar kerajaan. Antaranya berunding dengan badan-badan NGO dan wakil-wakil dari semua agama seawal 1991. 

Hasilnya telah sepakat dan bersetuju dengan hujah bahawa perjudian wajar dilarang atas pendirian bersama bahawa perjudian memberi banyak keburukan daripada kebaikan dan mudaratnya sehingga boleh membawa seseorang itu menjadi muflis, mengalami kerosakan dan kehancuran kerukunan rumah tangga.

Perjudian melupakan ‘akal fikiran’ manusia, menyebabkan manusia hanya berserah kepada ‘nasib’. Apa kata kalau manusia menyerahkan kepada nasib semata-mata dalam semua aktiviti hidup? Pasti akan jahanam dan porak-peranda. Manakala perniagaan dihalalkan kerana berniaga mencetuskan aktiviti rasional manusia.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah diarah menggubal peraturan penguatkuasaan yang tidak membenarkan mana-mana premis menyediakan khidmat perjudian dan aktiviti berkaitan. Penguatkuasaan itu adalah selari dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri big sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada legal adviser untuk melihat dari sudut perundangan yang ada.

Apa pun, pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan. Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno-BN di peringkat Pusat sana adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain.



Sekian. Terima kasih.



Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan

Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Kota Darulnaim, Kota Bharu.

12 Rabiulakhir 1432
17 Mac 2011


03 Mac 2011

Kelantan dalam kelas tersendiri

Bookmark and Share



NORSHAHRUL (tengah) membuktikan dirinya sebagai penggempur berbisa dalam skuad Kelantan pada aksi menentang Negeri Sembilan kelmarin.-Kosmo

KELANTAN berada pada kelas tersendiri apabila membenam cabaran Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Apa yang nyata, ia adalah suatu yang cukup sempurna untuk diraikan seluruh kem Kelantan ketika pencabar utama, Perak hanya sekadar berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri dengan Harimau Muda A sekali gus membolehkan The Red Warriors mendahului kedudukan liga dengan kelebihan dua mata.

Skuad yang dibimbing jurulatih Datuk M. Karathu itu bingkas daripada aksi hambar pada babak pertama perlawanan dengan mempamerkan permainan yang cukup bertenaga sehingga memaksa bahagian pertahanan Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras.

Menurut Karathu, keyakinan anak-anak buahnya berada pada tahap yang cukup baik selepas keluar daripada bilik persalinan untuk aksi babak kedua selain komitmen serta disiplin yang ditunjukkan terutama di benteng pertahanan.

"Apabila pemain tidak meragui keyakinan yang ada pada mereka, sasaran akan menjadi jelas. Nyata mereka (pemain) mahukan kemenangan dan itu yang dilakukan pada perlawanan malam tadi (kelmarin).

"Sasaran kami adalah untuk sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan.

"Kami mahu menjadi pasukan yang kompetitif dan sentiasa bersedia memberi saingan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan dan Negeri Sembilan bergilir-gilir melakukan serangan menyebabkan keseluruhan permainan yang dipamerkan agak pantas sehingga menyebabkan tekanan terhadap pemain agak tinggi.

Jelasnya, separuh masa kedua beliau menukar sedikit taktikal pasukan dengan menggunakan Nurul Azuan Roya dan S Chanturu yang berada di bahagian sayap untuk melancarkan gerakan.

"Separuh masa pertama kita cuba bawa masuk bola melalui kawasan tengah dan itu menyebabkan kita kerap kehilangan bola kerana Negeri Sembilan memiliki pemain yang cukup baik. Kemudian kita menyerang menggunakan pemain sayap dan perubahan tersebut berhasil.

"Pujian juga harus saya berikan kepada kesemua pemain terutama di bahagian pertahanan yang cukup kental mengekang asakan lawan. Semua pemain telah memainkan peranan dengan baik," katanya.


19 Februari 2011

kelantan dan maksiat

Bookmark and Share

Jika mereka bertanya saya, apakah yang paling manis sepanjang 8 tahun saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)? Saya akan menjawab, bersama menikmati usaha-usaha ke arah memantapkan perlaksanaan Islam di perbandaran Kota Bharu bersama para ahli majlis dan pegawai kerajaan di peringkat atasan dan bawahan yang begitu ikhlas, konsisten dan tanpa menghiraukan penat dan lelah.
Jika pula mereka bertanya saya, apakah yang paling pahit dan mengecewakan pula? Saya akan menjawab, ketika bungkam dan hilang kata-kata memerhati kerenah segelintir ahli majlis dan pegawai kerajaan juga, atas dan bawah yang begitu lunak cakapannya, lebat hujahnya dan bersimpang siur liatnya untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar!
Paling manis, bila saya turut menyumbang buah fikir dan turut menyertai perlaksanaan program dan projek yang baik dan berguna untuk warga MPKB dan rakyat Kelantan umumnya. Paling pahit, bila keengganan itu berlaku di depan saya dan saya mendapati diri saya kalah dan akur. Di tahun-tahun terakhir, ia begitu mendorong dan menekan saya untuk melepaskan jawatan lebih awal. Itu pastinya salah, tetapi itulah yang saya alami dan cuba memeranginya.
Akhirnya, tercipta juga satu sebab yang membolehkan saya
mengundur diri secara berhemat dan tanpa ditegur lagi. Saya masih mengharapkan daripadaNya agar tindakan saya itu tepat untuk saya dan agama saya.

Menyeru ke arah perlaksanaan syariat Islam yang syumul adalah perjuangan yang benar dan tiada yang benar selainnya di dunia ini. Melaksanakan tuntutan syariat yang dikandung kalimat mulia ‘amar makruf nahi mungkar’ juga adalah perjuangan yang benar dan kesukarannya sebenarnya bertambah-tambah pula.
Kala itu, yang berjaya adalah yang ikhlas hatinya, betul jalannya dan bersungguh kerjanya. Perjuangan Islam selalu songsang, tak menjadi rentak dan tarinya buat mereka yang terpasung kotak fikirnya daripada akidah yang benar, terpalit hatinya dengan lumpur duniawi dan tersadung kakinya daripada jalan yang lurus. Jika mereka sejahtera di situ, mereka masih tersisih sehinggalah mereka memacu dan memecut bersama para pejuang lain yang sentiasa segar dan istiqamah berlumba-lumba dan pintas-memintas menuju ridha Allah.
Islam adalah al Quran. al Quran adalah petunjuk dan nasihat. Jika ia tiada berkesan dan sememangnya sebahagian manusia keras dan buta hatinya daripada mendengar al Quran, maka al Quran memerlukan kuasa dan tongkat untuk menyuruh dan menghalang manusia. Apa-apa yang gagal dicabut dengan nasihat akan dicabut dengan kuasa.
Semasa baginda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di Kota Mekah selama 13 tahun memimpin dakwah dengan al Quran di tangannya, baginda mampu menarik sekitar 300 orang warga Mekah mendengar nasihat dan wasiat al Quran. Kemudian apabila baginda kembali memasuki Mekah 10 tahun kemudiannya, dengan al Quran di tangannya dan pedang juga di tangannya, baginda dengan tempoh yang terlalu segera telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat kota Mekah dan sekitarnya untuk mendengar nasihat dan wasiat al Quran.
Pedang itu bukan buat memenggal leher seganasnya dan sejarahnya, tetapi cukuplah ia berisyarat, akulah teman setia al Quran. Demi tuhan, al Quran dan kuasa adalah bersaudara lagaknya. Bukankah kalam suci dan kuasa itu milik dan sifat Allah?
Justeru perjuangan membalut, menyeri dan menabal al Quran dengan tampuk kuasa adalah kerja nabi dan kerja perjuangan suci sepanjang zaman. Selagi Allah kekal hidup menjaga al Quran, selagi itulah al Quran ditawafi para pejuangnya yang kekal berjuang dan terbang syahid!
Janganlah Islam ini dikerjakan oleh mereka yang meletakkan kuasa di parlimen dan menyimpan al Quran di dalam almari, mengasingkannya daripada kehidupan sementara menunggu kehadiran majlis perarakan maulidur rasul.
Justeru ia perjuangan.
Kemudian, sesudah anda memiliki kuasa, maka mengurus kuasa adalah perjuangan juga. Ia fasa selepas fasa.
Zahirnya, kuasa pertama adalah apabila anda memiliki isteri, kemudian anak-anak. Jika mereka lari daripada nasihat al quran, anda masih memiliki kuasa. Dengan kuasa, anda mampu mengembalikan mereka ke jalan Allah. Itulah sesempurna Tindakan dalam mengurus kuasa.
Kemudian kehidupan melebar dan menjadi semakin melebar. Jika anda masih kekal berjuang memburu kuasa di Putra Jaya demi kecintaan mencantumkan al Quran dengan kuasa, maka anda telah pun memiliki selaras kuasa di Kelantan. Kecil tetapi besar. Sempit tetapi luas.
Marilah berdansa bersama kuasa dan al Quran. Kata al Quran, ajaklah rakyat Kelantan mendirikan solat lima waktu dan sembahlah Allah di rumah, di kedai, di kampung dan di bandar. Kemudian, carilah rezeki yang halal, tunaikanlah zakat dan bantulah orang-orang miskin dan lemah. Buatlah kebajikan, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan kemaksiatan.
Caranya? Nasihatlah dengan al Quran dan gunakan kuasa yang Allah kurniakan. Caranya? RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebaik-baik ikutan. Hasilnya? Akan bertambah ramailah umat Muhammad terarah dan berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Hasilnya? Akan kecewalah musuh-musuh tuhan daripada kalangan jin dan manusia. Itulah buah-buah manis tuaian perjuangan.
MPKB-BRI dengan kuasa sebuah kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri Kelantan telah melakukannya. Anda tidak akan mendapati perniagaan dan aktiviti terlarang agama di premis yang berdaftar dan diluluskan. Bahkan, wujud peraturan-peraturan kecil dan garis panduan yang berusaha menyekat sesuatu aktiviti yang secara mudah mendorong kepada keburukan dan haram.
Anda akan melihat kesungguhan MPKB-BRI memasuki medan kemasyarakatan demi menganjurkan kebajikan dan tolong-menolong yang memberi manfaat. Bahkan, agensi-agensi kerajaan negeri yang lain turut berganding bahu melibatkan diri memeriahkan usaha-usaha kebajikan yang dianjurkan ugama.
20 tahun adalah potret masa yang memisahkan Kelantan dan Kota Bharu daripada negeri-negeri lain dan perbandarannya yang begitu jauh ketinggalan. Pencapaian ini, adakah anda mahu menafikannya?
Sebelum anda menunjuki saya pusat-pusat pelacuran dan gambar-gambar bogel pelacur Kelantan, mari saya perkenalkan anda dengan apa yang anda telah ketahui.
Adakah bandar Madinah di zaman al Rasul bebas maksiat? Tidakkan? Bagaimana dunia ini bebas maksiat sedangkan dosa itu sentiasa melekat di badan, apatah di hati. Bukankah keimanan kita adalah bahawa hanya al Rasul sahaja yang maksum dan bebas dosa dengan izin tuhannya?
Bukankah nabi pernah melaksanakan hudud yang membawa erti telah berlaku maksiat zina di Madinah? Bukankah nabi pernah menyebut kepinginnya untuk membakar rumah-rumah yang kaum lelakinya tidak keluar untuk solat berjamaah bersama baginda yang bererti seruannya diingkari juga di Madinah? Bukankah nabi pernah mencela peniaga di pasarnya yang menipu dalam perniagaan?
Jika begitu, terlaksanakah atau berjayakah amar makruf dan nahi mungkar di Kota Madinah? Jangan berkata tidak! Sesungguhnya nabi dan zamannya adalah kemilau kehidupan yang memancar-mancar sebagai panduan sepanjang zaman.
Amar makruf bererti kebebasan melaksanakan kebaikan dan kemanfaatan yang disepakati bersama. Nahi mungkar bererti mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan dibenarkan. Kemungkaran mestilah dihimpit dan ditolak keluar sehingga ia tidak mengganggu masyarakat dengan kebusukannya.
Jika anda terpaksa menyamar dan bersusah payah menyelongkar, itu tandanya kemaksiatan telah terpinggir dan hidup ketakutan sehingga menyepi di ruang gelap.
Di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain maksiat adalah halal dan haram. Terang dan cerah. Terbuka dan tertutup. senyap dan bising. Anda boleh memilih. Selera nafsu serakah adalah berbeza. Neraka seleranya berbeza juga.
Di Kota Bharu, tugas mengharamkan sarang dan pusat yang mudah mendorong aktiviti maksiat dan haram berjaya dilaksanakan pada kadar yang hampir sempurna. Lihatlah, betapa sukarnya menyimpulkan samada aktiviti karaoke, biliard, snoker, alatan syisya, tinju siam dan seumpamanya perlu dibuka atau disempitkan laluannya. Semuanya kerana kebimbangan dan wujud bukti penyalah gunaan yang membawa kepada aktiviti haram dan merosakkan.
Jika begitu, lebih-lebih lagilah pembanterasan terhadap aktiviti halal dan terbuka pelacuran, judi, arak dan sebagainya.
Tinggal lagi, bagaimana dengan aktiviti maksiat yang tidak berdaftar dan berlaku secara sembunyi dan haram di sisi undang-undang?
Anda usahlah berbangga kerana berjaya membuktikan Kelantan tidak bebas dan bersih maksiat selepas 20 tahun memerintah dengan nama Islam dengan mendedahkan pusat-pusat maksiat yang yang tak pernah pun diberi lesen itu.
PAS tak pernah pun menafikan kesungguhan kerajaan pusat memburu dadah, arak, judi dan pelacuran haram. Itu nahi mungkar yang disokong.
Apa yang PAS canggah adalah bagaimana kerajaan pusat boleh meluluskan pusat dan aktiviti yang mendorong maksiat dan kejahatan secara terbuka dan halal pula?
Mengapa kuasa dimandulkan? Tidakkah kuasa itu hak dan milik Allah yang dikurniakan kepada manusia untuk membantu al Quran di dalam kekuasaannya ke atas manusia agar mereka selamat dan sejahtera?
Jadi, jika kerajaan pusat yang memiliki kekuatan 100 kali ganda kuasa berbanding kerajaan Kelantan pun tak mampu mengisytiharkan kejayaan membanteras pelbagai aktiviti haram tersebut, maka bayangkanlah kesukaran kerajaan Kelantan juga.
Fahami ini jika anda seorang yang berakal, insaf dan takutkan murka Allah.
Sesudah anda memahami ini, ketahuilah kekuatan dan kuasa sebenar adalah pada diri sendiri. Kita menyebutnya sebagai sumber manusia. Atau modal insan. Dalam menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran, keberkesanan terlalu bergantung kepada iman di dada dan dorongannya yang kuat untuk melaksanakan tugas dan amanah Allah ke atas hambaNya.
Jika saya dibenar bercakap lantang, saya akan lahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan di MPKB yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan misi kerajaan negeri untuk membangun bersama Islam.
Tetapi demi keadilan dan keinsafan, saya terkadang menjadi kecewa dan muak dengan segelintir warganya, ahli majlis dan pegawai MPKB yang tidak pun membantu kemeriahan berkerja, bahkan mengusutkan dan melambatkan kerja-kerja benar dan disukai Allah.
Paling menyayatkan, mereka berhujah semacam mereka ini pakar di dalam siasah syar’eiyah pula. Semoga Allah menemukan kita dengan penyelesaian.
Kawan saya, seorang doktor pulang dari ibadah haji beberapa bulan lepas. Bukan buah tamar dan kismis, tetapi sebuah buku dalam teks Arab telah dihadiahkan kepada saya tulisan seorang ulama terkenal, Doktor Salman al Audah bertajuk ‘Terima Kasih Wahai Musuhku’.
Isinya tentu menarik. Saya masih belum membacanya kerana dalam telaah beberapa kitab lain.
Terima kasih sahabatku. Terima kasih juga wahai musuhku. Tak kiralah syeikh-syeikh Firaun yang telah tumbang di Mesir itu atau syeh-syeh Quraish yang sedia menanti tumbang diterjang sunnah Allah ke atas penjarah di muka bumi ini.
nikabduh.wordpress.com


27 Januari 2011

KOMPLOT MENJATUHKAN PASUKAN KELANTAN ?

Bookmark and Share

Beginilah wajah bola sepak Malaysia yang sejak dulu lagi mengamalkan konsep ketidakadilan dalam membuat keputusan.Selepas satu-satu isu timbul untuk menghancur dan melumatkan Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan FA.

Tidak cukup dengan penggantungan 6 bulan Jurulatih Kelantan, B.Sathianathan timbul pula isu kelantan tidak dibenarkan beraksi pada perlawanan Piala Sumbangsih 29hb Januari ini gara gara ketiadaan Jurulatih berlesen  berkelas A.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Kelantan perlu segera mencari pengendali sementara yang memiliki Lesen A dalam tempoh empat hari lagi bagi membolehkan mereka memenuhi syarat untuk turun beraksi Sabtu ini.Walaupun dengan kehadiran Hashim Mustapha selaku penolong jurulatih, Hashim masih lagi tidak layak untuk membantu Kelantan kerana beliau tidak mempunyai Lesen Jurulatih berkelas A.

Dalam facebook TAN SRI ANNUAR MUSA ada mengatakan apakah ini kebetulan atau takdir ?

Facebook Annuar Musa

Siapakah dalang di sebalik perkara ini ? Siapakah yang ingin menjatuhkan era kegemilangan pasukan Kelantan FA ? Tidak sedarkah mereka bahawa Kelantan adalah penyumbang terbesar dalam kutipan tiket liga malaysia.Jika isu seperti ini berlaku sudah tentu kehadiran penyokong ke stadium berkurangan dan duit poket orang orang FAM juga sudah tentu terjejas.

Benar kata Tan Sri Annuar Musa, FAM hanya suka mendenda pasukan Kelantan sahaja sedangkan banyak lagi penyokong pasukan lain yang buat hal seperti balingan batu bata oleh penyokong perlis di Stadium Kangar pada perlawanan piala malaysia tempohari yang hampir mengenai kepala penjaga garisan juga pesta mercun di Stadium Paroi yang menyaksikan Negeri Sembilan tewas 0-1 pada Johor FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2010.Adakah “mereka-mereka” ini didenda atau dihebohkan oleh pihak media ?SUDAH TENTUNYA TIDAK

Ini kerana FAM hanya nampak kesalahan KELANTAN sahaja.Usah bersikap prejudis yang  boleh menyebabkan bola sepak Malaysia terus mundur.Baru menang Piala Sizuka umpama sudah menjuarai world cup.FAM BANGGA dan mungkin berkata “inilah hasil kerja kami selama ini, kami menjalankan tugas dengan baik dan kami mensasarkan Juara World Cup 2014 di brazil pula”.
Bangkitlah dari mimpi, Adillah dalam membuat keputusan wahai FAM yang sudah tidak relevan.


26 Januari 2011

Kelantan mukin tidak dibenarkan beraksi dalam piala Sumbangsih

Bookmark and Share



KELANTAN mungkin berdepan masalah tidak dibenarkan beraksi menentang Selangor pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2011 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ini kerana, peraturan pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap pasukan perlu mendaftar jurulatih yang memegang Lesen A sedangkan Kelantan kini tidak memilikinya setelah B. Sathianathan digantung enam bulan berkuatkuasa kelmarin.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Kelantan perlu segera mencari pengendali sementara yang memiliki Lesen A dalam tempoh beberapa hari ini bagi membolehkan mereka memenuhi syarat untuk turun beraksi Sabtu ini.

“Perkara ini sudah termaktub dalam peraturan pertandingan. Jadi Kelantan perlu segera mendapatkan seorang jurulatih Lesen A bagi didaftarkan sebelum perlawanan pertama Liga Super 2011 pada Sabtu ini.

“Jika gagal, maka Kelantan dianggap tidak memenuhi syarat pertandingan dan boleh dikenakan tindakan tidak dibenarkan untuk turun beraksi,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan ke atas Sathianathan yang sebelum ini ditangguhkan sementara ekoran tindakannya mengkritik FAM secara terbuka di media.

Justeru, desas-desus mengatakan Kelantan bakal mengambil bekas jurulatih Kedah dan Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah bagi mengisi ketiadaan Sathianathan memandangkan dua penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin hanya memiliki Lesen B.

Namun ia tidak semudah disangka kerana menurut Azzuddin, isu penamatan kontrak Azraai dan FAM nampaknya belum selesai manakala KAFA pula belum menyatakan secara rasmi untuk mendapatkan Azraai.

“Sehingga hari ini (semalam), Sekretariat FAM masih belum terima apa-apa permohonan secara rasmi daripada KAFA untuk berunding bagi mendapatkan Azraai.

“Isu FAM dan Azraai juga masih tergantung kerana terdapat perkara yang tidak dipersetujui Azraai. Ia sudah di luar bidang kuasa Sekretariat FAM kerana kini perlu dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kewangan FAM,” jelas Azzuddin.

Azzuddin turut berharap agar isu penggantungan Sathianathan tidak disensasikan semua pihak memandangkan semua pemain dan pegawai pasukan telah sedia maklum peraturan yang termaktub dalam kod disiplin FAM.

“Perkara ini sudah jelas, jika pemain atau pegawai buat kenyataan tidak betul di media, maka mereka boleh dihukum. Jawatankuasa Rayuan tak boleh lari jauh dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib kecuali andai berlaku salah hukum,” tegasnya.


25 Januari 2011

Red Warriors terima RM200 ribu

Bookmark and Share


Tuan Guru berucap di majlis penyampaian cek kepada The Red Warriors
KOTA BHARU, 25.Jan - Kecaknaan kerajaan Kelantan dalam pembangunan sukan di negeri ini diakui oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA ) Tan Sri Annuar Musa terutamanya dalam pembangunan bolasepak Kelantan.
Annuar berkata walaupun berlainan fahaman politik, namun dalam arena sukan bolasepak, ia patut diketepikan demi mencapai kejayaan.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kerajaan negeri kepada pemain The Red Warriors bertempat di Dewan Teratai Kompleks Darulnaim hari ini.
Menurut Annuar lagi, walaupun sumbangan kerajaan kali ini berupa wang ringgit sejumlah RM200 ribu untuk diagihkan kepada pemain, ia juga dilihat sebagai tanda kerjasama rapat diantara kerajaan negeri dan KAFA.
Sebelum ini KAFA juga telah menerima sumbangan dari kerajaan Kelantan berupa tajaan menunaikan umrah di atas kejayaan menjadi naib juara Piala Malaysia 2009, namun ia telah ditukarkan kepada wang tunai pada tahun 2010.
Turut hadir dimajlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan negeri kepada pemain The Red Warriors ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Abdul Fattah Mahmood, exco negeri dan Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa .
The Red Wariors bergambar bersama Tuan Guru
Sementara itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan ucapan berharap pemain skuad The Red Warriors tidak akan mengabaikan solat walaupun di mana berada.
“ tuan-tuan perlu ingat kalau di padang bola sepak,tuan-tuan akan berhati-hati agar tidak dikenakan kad merah tetapi kalau dalam berkaitan dengan solat, kad merah juga boleh dilayankan oleh malaikat”ujar beliau.
Nik Abdul Aziz juga berkata walaupun sumbangan kali ini berbentuk wang ringgit, namun ia juga boleh dijadikan perangsang untuk meningkatkan semangat pemain dalam mengekalkan kejuaraan dalam Liga M musim 2011 ini.
Sebahagian pemain bersama cek sumbangan kerajaan negeri
“Kalau musim dulu kita memberi sumbangan berbentuk umrah,tetapi kerajaan berfikir lebih baik kita bagi wang ringgit kali ini agar keluarga pemain juga dapat menikmati sumbangan tersebut”ujar beliau.
Beliau juga berharap hubungan baik antara kerajaan negeri dan KAFA dapat ditingkatkan demi pembangunan sukan bolasepak negeri.
“Saya amat berbesar hati sekiranya pemain The Red Warriors dapat mengekalkan prestasi di samping dapat menjaga ibadah solat kerana Islam tidak menghalang umatnya untuk menyertai sukan asalkan ia tidak melanggar syariat agama”katanya lagi.