Buku Temu Ruas | Kelantan lwn Harimau Muda A ~ Pro Pas Blog

01 April 2011

Home » , , , » Buku Temu Ruas | Kelantan lwn Harimau Muda A

Buku Temu Ruas | Kelantan lwn Harimau Muda A

Bookmark and Share


Barisan Harimau Muda A yang beraksi dalam kelayakan Olimpik





Setelah berehat panjang, Liga Super 2011 kembali membuka tirai dengan pertemuan paling mencuri tumpuan, melibatkan pendahulu liga, Kelantan yang bakal melayan kunjungan "skuad olimpik", Harimau Muda A di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam esok.


Sudah pasti, pertembungan ini ibarat buku bertemu dengan ruas, kerana kedua-dua pasukan dibarisi pemain-pemain terbaik dalam negara. Kedua-dua pasukan yang mengamalkan corak permainan pantas dijangka akan menunjukkan satu kualiti permainan yang menarik untuk tatapan penonton.


Di dalam carta Liga Super, skuad bimbingan Ong Kim Swee berada di kedudukan ke-7, dengan 9 mata, namun mereka kurang satu perlawanan manakala pasukan Kelantan menakluki carta liga dengan 14 mata. Jika Harimau Muda berjaya menewaskan Kelantan, sudah pasti perebutan kejuaraan liga semakin terbuka dengan mengurangkan perbezaan mata kepada 2 mata. Manakala pasukan Kelantan perlu memastikan kemenangan bagi mengukuhkan cengkaman bagi mengelak dipintas Selangor dan Perak yang mengekori rapat Kelantan.


Harimau Muda A, yang rata-rata dibarisi oleh pemain skuad Olimpik negara seperti ketua pasukan, Azmi Muslim, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Fandi Othman, Wan Zack Haikal, Gurusamy, Izzaq Faris,, Irfan Fazail, dan ramai lagi. Paling mencuri tumpuan, ialah pemain tengah meningkat naik, Wan Zaharulnizam Zakaria yang juga anak kelahiran Kelantan yang bakal turun menentang pasukan negeri kelahirannya. Malah, beliau juga perlu diberi perhatian kerana kebolehan beliau menjaringkan gol menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Beliau juga mempunyai kelebihan kerana mampu merembat bola menggunakan kaki kiri dan kanan.


Wan Zaharulnizam perlu diberi perhatian
Selain Wan Zaharulnizam, ada beberapa lagi anak kelahiran Kelantan yang bermain untuk Harimau Muda, seperti Wan Zack Haikal dan juga Ferrish Danial.


Untuk pasukan Kelantan pula, barisan pemain yang ada sudah pasti digeruni lawan. Kelantan mempunyai empat pemain kebangsaan termasuk pemain yang baru mendapat cap pertama bersama skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan lepas, iaitu Rizal Fahmi Rosid. Beliau dijangka akan diberi tugas untuk membimbing posisi pertahanan supaya tidak mudah dibolosi lawan. Selain Rizal, penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu dan penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat sudah pasti menjadi sandaran untuk membawa pasukan memenangi perlawanan.


Jika dilihat dari senarai pemain kedua-dua pasukan, kedua-dua pasukan mempunyai barisan yang seimbang dari segenap posisi. Pemain-pemain bimbingan Ong Kim Swee masih muda, namun dalam usia yang muda, mereka sudah didedahkan dengan pelbagai pengalawan di dalam dan luar negara. Manakala pasukan Kelantan pula di barisi pemain yang muda dan matang dan kelebihan pengalaman sudah pasti akan menjadi penentu kemenangan.


Untuk rekod pertemuan, Kelantan pernah ditewaskan 4-1 oleh Harimau Muda A ketika aksi pemanas badan awal musim. Namun, keputusan perlawanan persahabatan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran, kerana pertemuan malam esok adalah pertemuan sebenar.

www.wawanfaiz.com


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih