Kes Rogol Atlit SUKMA : DPPNK Kesal ~ Pro Pas Blog

08 Julai 2013

Home » , , , , , » Kes Rogol Atlit SUKMA : DPPNK Kesal

Kes Rogol Atlit SUKMA : DPPNK Kesal

Bookmark and Share

Kes Rogol Atlit SUKMA : Aspek Keselamatan Wajib Dititikberatkan

Kes Rogol, SUKMA, Dewan Pemuda, Pas, Sukan Malaysia, MSN, Seks, Minum Arak, Seks Bebas, Kes Rogol, Pemain Di Rogol
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) memandang serius isu seorang seorang atlet bola baling Sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia, Rabu lepas. Kes ini menjadi laporan hangat dunia sukan di dada-dada akhbar hari ini.

Dalam hal ini, DPPNK berpandangan pihak polis perlu diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyiasat kes tersebut apatah lagi ia telah menjadi kes polis dan menjadi tanggungjawab pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan secepat mungkin. DPPNK yakin pihak polis akan menjalankan siasatan rapi dan telus bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun, di dalam masa yang sama, suka dinyatakan bahawa kes ini menjadi bukti bahawa betapa longgarnya kawalan keselamatan terhadap atlet-atlet yang menyertai pesta Sukan Malaysia (Sukma) 2013. Menjadi persoalan bagaimana seorang atlet wanita boleh bermalam atau dibawa bermalam bersama atlet berlainan jantina? Setakat manakah pihak Majlis Sukan Negara (MSN), selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 memandang berat isu keselamatan yang sepatutnya menjadi agenda penting sepanjang temasya ini berlangsung?

DPPNK juga kesal dengan dakwaan bahawa atlet tersebut bersama beberapa orang rakannya telah meminum minuman keras sebelum jenayah itu dikatakan berlaku. Dalam hal ini menjadi tanggungjawab MSN untuk memastikan bahan-bahan beralkohol seperti ini tidak dibawa masuk ke kompleks perkampungan sukan memandangkan ia boleh mendatangkan pelbagai kesan yang tidak diingini.

Hakikatnya, arak dan sukan dilihat mempunyai kaitan apabila syarikat-syarikat arak diberikan hak untuk menaja sebahagian aktiviti sukan. Media cetak khususnya akhbar-akhbar berbahasa Inggeris semakin kerap mengiklankan minuman-minuman beralkohol dan pengiklanan ini berlarutan di mana ada syarikat arak sudah mulai menaja sukan yang berprestij. Keberanian mengeksploitasi wanita yang seksi dan mengghairahkan mempromosi arak juga menarik perhatian ramai khususnya golongan remaja.

DPPNK menuntut agar aktiviti sukan yang sihat dan bebas daripada penajaan syarikat arak dan juga judi perlu menjadi agenda utama kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan. Dalam masa yang sama, pergaulan bebas di antara atlet berlainan jantina perlu dipandang serius selain pakaian yang menjolok mata yang dipakai oleh atlet di dalam acara-acara tertentu turut menjadi faktor yang mendorong kepada kes seumpama ini.

DPPNK suka untuk menyarankan semua pihak melihat kepada kejayaan kerajaan negeri Kelantan menganjurkan Sukan Wanita Malaysia (NISA’ GAMES) yang hanya khusus kepada atlet wanita sahaja dan berpakaian menutup aurat tanpa menjejaskan aktiviti sukan. Sekalipun prinsip ini mungkin tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya kepada semua pihak, namun sekurang-kurangnya ia boleh menjadi panduan kepada kerajaan untuk bertindak ke arah memastikan sukan bersih dari masalah sosial.

Dalam masa yang sama, kesedaran juga perlu sentiasa dipupuk di kalangan atlet-atlet negara agar mereka mampu bersaing secara sihat dan menerima hakikat bahawa kalah menang ialah lumrah biasa di dalam pertandingan. Jika hal-hal begini tidak ditangani segera, pastinya cita-cita untuk melihat pembangunan sukan yang bersih daripada masalah sosial dan akhlak tidak akan tercapai.

Sukan sebagai ibadah.

Ahmad Najib bin Deris,
Pengerusi Lujnah Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (DACS),
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih