Saya pernah belajar di Mesir. Empat tahun saya peruntukkan dari usia muda saya untuk menimba ilmu di bumi ambiya tersebut. Orang-orang Mesir saya lihat begitu ramah dan mesra terutama dengan tetamu asing. Alhamdulillah, banyak pengalaman yang saya timba di sana untuk dibawa pulang ke tanah air.
Hari ini, rejim Hosni Mubarak jatuh tersungkur. Pandangan saya, ia benar-benar merupakan kuasa Allah SWT. Nampak sangat berlakunya campur tangan Allah SWT di dalam menjatuhkan rejim ini. Siapa yang menyangka Dataran Tahrir boleh memuatkan tiga juta manusia untuk mendesak Hosni Mubarak berundur?
Jika di Padang Arafah, musim haji terakhir baru-baru ini mencatat kehadiran jemaah yang wukuf seramai 2.7 juta orang (angka rasmi), di Dataran Tahrir rupa-rupanya lebih ramai daripada itu. Siapakah yang mengerah mereka jika tidak naluri mereka sendiri yang digerakkan oleh Allah SWT?
Mereka berkampung selama 18 hari tanpa terjamin urusan makan minum dan pengurusan seharian semata-mata untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Pastinya ia terhasil ekoran perasaan tidak puas hati yang telah sekian lama terpendam. Tanpa peluru dan tanpa senjata, mereka akhirnya berhasil menjatuhkan Mubarak.
Mesir menyaksikan sejarah penindasan kepada para ulama yang begitu lama. Jauh sebelum itu, musuh Allah SWT yang bernama Firaun sendiri pernah ditenggelamkan oleh Allah SWT. Firaun yang mengaku dirinya tuhan ditenggelamkan di laut setelah Allah SWT membenarkan Nabi Musa bersama pengikutnya melalui laut sama yang telah dibekukan sepanjang lebih kurang 40km.
Yakinlah, kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Allah SWT yang pernah membekukan lautan untuk Nabi Musa itulah juga yang telah menjadikan api menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim. Dialah juga yang telah menyelamatkan perjalanan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari dikesan oleh special branch Quraisy. Maka, pelikkah jika Allah SWT boleh menjatuhkan mana-mana kerajaan pada hari ini dengan kuasaNya?
Sayangnya, musuh Allah SWT tidak pernah belajar dari sejarah. Sekali lagi kesilapan Firaun diulangi oleh pemerintah Mesir dengan membunuh para ulama. Almarhum Syeikh Abdul Qadir Audah, Almarhum Syed Qutb dan ramai lagi para ulama terkorban di bumi Mesir hasil kezaliman pemerintah Mesir. Demikian juga ulama yang terpaksa keluar dari Mesir seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi ekoran keselamatan yang sentiasa terancam oleh polisi kerajaan Mesir.
Harapan saya, rakyat Mesir akan mendapat pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat serta beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan.
0 Ulasan :
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih