Pertemuan buku dengan ruas ~ Pro Pas Blog

11 Oktober 2010

Home » » Pertemuan buku dengan ruas

Pertemuan buku dengan ruas

Bookmark and Share

Saingan Piala Malaysia sudah memasuki fasa kedua iaitu pusingan suku akhir yang menjanjikan pelbagai kejutan menarik untuk disaksikan bersama.

Apa yang menarik untuk diperkatakan oleh semua peminat bola sepak tempatan ialah pertembungan dua seteru Liga Malaysia iaitu Kelantan dan Selangor.

Pertemuan buku dengan ruas ini bukan sahaja bakal mempamerkan aksi menarik ia juga pasti akan diserikan dengan gelagat penyokong fanatik kedua-dua pasukan.

Tidak salah jika dikatakan bahawa inilah satu pertembungan suku akhir yang pasti akan dikenang oleh kedua-dua pasukan.

Jika sebelum ini, kedua-dua pasukan bercita-cita untuk bertemu di pentas akhir, namun apa yang diimpikan itu tidak kesampaian.

Selain aksi di atas padang, perlawanan ini juga bakal mempertaruhkan kredibiliti dua nama besar dalam arena bola sepak negara iaitu B. Sathianathan (Kelantan) dan K. Devan (Selangor).

Berdasarkan rekod pertemuan musim ini dalam saingan Liga Super , ia tampak seimbang antara kedua-dua pasukan dimana mereka hanya sekadar mencatatkan keputusan seri.

Namun dalam saingan Piala Malaysia ia pasti menjanjikan suasana yang berlainan dimana hanya pasukan yang menang dalam perlawanan tersebut sahaja akan layak ke pusingan berikutnya.

Tugas berat pastinya menanti ketua jurulatih Kelantan, Sathianathan apabila kepakaran dan sentuhannya sekali lagi ditagih oleh seluruh peminat setia Wira Merah untuk membawa pulang seberapa banyak gol dari Shah Alam sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan kedua di Kota Bharu Jumaat ini.

Ketajaman penyudah Nor Shahrul Idlan sekali lagi ditagih oleh peminat setia Kelantan untuk memastikan The Red Warrios tidak pulang hampa.

Selain itu, kelibat perancang tengah berbisa Mohd. Badri Radzhi pasti diharapkan untuk merencanakan ramuan buat Nor Shahrul untuk menjerat pertahanan tuan rumah.

Dalam perlawanan ini juga, kelibat serta pengalaman kapten pasukan Indra Putra merupakan watak penting untuk meniup api perjuangan The Red Warrios untuk berjuang hingga titisan peluh terakhir.

Bagi saya selaku peminat setia Kelantan, tiada apa yang perlu ditakuti, walaupun ramai yang mengatakan bahawa kita tidak setanding dengan Gergasi merah, namun saya tidak peduli, apa yang saya tahu wira merah tetap ada kelebihan.



0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih