Dun Galas: kemenangan dijangka tercapai kerana kita tidak gentar- DS Nizar ~ Pro Pas Blog

11 Oktober 2010

Home » , , » Dun Galas: kemenangan dijangka tercapai kerana kita tidak gentar- DS Nizar

Dun Galas: kemenangan dijangka tercapai kerana kita tidak gentar- DS Nizar

Bookmark and Share


KUALA TERENGGANU – Pakatan Rakyat (PR) akan bekerja keras dalam memastikan kemenangan calon pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November nanti.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kemenangan akan dipastikan milik calon yang dipilih PR kerana di kawasan itu terdapat lebih 20 peratus pengundi Cina selain 11 peratus Orang Asli.

“Hasrat ini dijangka tercapai kerana kita tidak gentar dengan calon yang bakal diletakkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di Galas nanti.

“Saya menyatakan sedemikian kerana kemenangan di Sibu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) 16 Mei lalu memang di luar jangkaan dan menunjukkan penduduk di situ sudah muak dengan politik BN," katanya.

Sehubungan itu katanya, tidak mustahil penduduk di kawasan Galas boleh terus mengekalkan kerusi milik Pas daripada jatuh ke tangan BN walaupun pelbagai agenda politik bakal dimainkan sepanjang kempen pilihan raya akan datang.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam dan sesi dialog sempena dana pilihan raya di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Nizar berkata, desas-desus menyatakan Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi calon di Galas hanya tawaran daripada pucuk pimpinan UMNO, namun belum ada kata putus.

“Kemungkinan beliau (Ku Li) akan menolak tawaran itu dan perkara ini telah pun dinyatakan dalam Parlimen oleh beliau sendiri.

“Sekarang, PR menunggu siapa calon yang bakal diletakkan oleh BN di sana dan kita yakin tidak memberi masalah kepada jentera PR untuk meyakinkan penduduk di kawasan itu," katanya.

Apa yang penting katanya, setiap calon yang dipilih PR akan disokong dan cuba membantu sedaya upaya agar kemenangan terus berpihak kepada calon mereka.

“Hasrat ini penting bagi membuktikan kepada rakyat bahawa PR bukanlah satu parti yang mensia-siakan rakyat, tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia,” katanya - SinarHarian


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih