Kawasan larangan berkerja untuk remaja perempuan ~ Pro Pas Blog

11 Oktober 2010

Home » , » Kawasan larangan berkerja untuk remaja perempuan

Kawasan larangan berkerja untuk remaja perempuan

Bookmark and Share

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Remaja perempuan tidak lagi dibenarkan bekerja di hotel, bar, restoran, rumah penginapan dan kelab, kecuali yang dimiliki keluarga sendiri apabila Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 diwartakan kelak.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada garis panduan pekerjaan yang boleh dan tidak boleh disertai oleh kanak-kanak dan orang muda bagi mengelakkan mereka dieksploitasi dari aspek keselamatan dan kesihatan serta memastikan moral mereka terus terpelihara.

“Jika kanak-kanak dan anak muda itu mahu bekerja selain daripada dalam lingkungan pekerjaan yang ditetapkan, mereka perlulah mendapatkan kelulusan daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu,” katanya ketika membentangkan Rang undang-undang tersebut pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kanak-kanak dan orang muda tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja yang membahayakan kesihatan, nyawa dan moral seperti bekerja di bawah tanah atau perusahaan yang bertentangan dengan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 seperti mengendalikan mesin dan alatan elektrik.

Beliau berkata pindaan tersebut juga akan memberi fokus kepada kawalan penggajian supaya tidak mengganggu pendidikan mereka.

Antara peruntukan yang terlibat dalam pindaaan ialah Seksyen 1(a) iaitu meminda takrifan kanak-kanak dengan menaikkan had umur dari belum genap 14 tahun kepada belum genap 15 tahun, serta takrifan orang muda daripada belum genap 16 tahun kepada belum genap 18 tahun.

Dr Subramaniam berkata ia perlu bagi memperluaskan had perlindungan kedua-dua golongan itu seperti yang diperuntukkan dalam Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa nombor 138 berkenaan umur minimum bagi penggajian. – Bernama


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih