Memaparkan catatan dengan label Big Sweep. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Big Sweep. Papar semua catatan

19 Mac 2011

Pas takkan tunduk dengan amaran Karpal.

Bookmark and Share

SEREMBAN, 19 Mac 11: Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh memberi PAS amaran bahawa pihaknya akan menentang rakan komponen Pakatana Rakyat (PR) itu jika terus berkeras dengan larangan jualan loteri di Kelantan.

Dilihat sebagai kata dua kepada PAS, Karpal meminta parti Islam itu supaya “tidak bermain dengan undang-undang”, sebaliknya mahu ia menghormati hak bukan Islam di negeri tersebut.

“Apa jua tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, kami akan bertindak bertentangan dengan (pendirian) PAS,” kata beliau pada majlis makan malam sambutan 45 tahun DAP di sini malam tadi.

Kerajaan PAS Kelantan berhadapan dengan kritikan parti-parti yang mewakili kaum Cina dari kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) ekoran larangan menjual loteri. Para pemerhati melihat larangan itu sebagai usaha PAS mengembalikan undi Melayu, yang kini kelihatan sudah kembali kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil sejak awal tahun lalu.

Kenyataan Karpal, yang juga ahli Parlimen dan seorang peguam, seolah-olah menggambarkan semula pendirian beliau dalam isu dasar negara Islam yang hendak dibawa PAS. Bagaimanapun pada konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 19 Disember lalu, Karpal berkata, isu itu boleh dibincangkan dan perlu diselesaikan dengan segera agar tidak dieksploitasikan oleh BN.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Penasihat Undang-Undang negeri mengkaji semula pengharaman loteri ‘big sweep’. Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri ‘big sweep’ yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan,” katanya.

Nik Abdul Aziiz turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda DAP Anthony Lok Siew Fook; ahli jawatankuasa DAP pusat Liew Chin Tong; Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PKR Dr Mohd Nor Manuty bagi membincangkan isu judi tersebut.

Isu pengharaman loteri itu timbul berikutan Majlis Perbandaran Kota Baru - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah melakukan serbuan ke atas dua buah kedai buku dan merampas tiket loteri tersebut pada bulan lepas. (IH)


18 Mac 2011

Jawapan Balas "Judi Jejas Undi" - Dato' Anuar Tan

Bookmark and Share

KENYATAAN AKHBAR YB DATO HJ ANUAR TAN BIN ABDULLAH SEBAGAI JAWAPAN TERHADAP AKHBAR SINAR HARIAN 17 /3/2011 ‘JUDI JEJAS UNDI’

Sebagai pimpinan dalam PAS yang berjuang berteraskan Islam, kita tidak mengambil kira soal undi sebagai pertimbangan dalam hal perjudian, sebaliknya ketakwaan kepada Allah SWT wajib diutamakan. Menang kalah dalam satu pertandingan hanya merupakan perkara duniawi tapi ketakwaan akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Encik Hu Phang Chaw adalah pandangan yang memberi gambaran kepada masyarakat lain bahawa masyarakat Cina hanya akan memberi undi kepada PAS sekiranya mereka diberi peluang atau hak untuk berjudi adalah amat mengelirukan.

Kenyataan ini jelas akan memalukan masyarakat Cina seolah-olah orang Cina terlibat dengan aktiviti perjudian. Ini tidak benar, hanya sebahagian kecil orang Cina dan bangsa-bangsa lain di dunia ini terlibat dengan aktiviti perjudian.

Dalam konteks masyarakat Cina Kelantan, saya berani katakan bahawa majoriti orang Cina tidak berjudi kerana dasar kerajaan PAS untuk mengharamkan dan tidak mengeluarkan lesen premis untuk berjudi telah dilaksanakan sejak 20 tahun yang lepas kerana masyarakat Cina di Kelantan mempunyai moral dan pendidikan yang tinggi.

Saya sendiri dan sebahagian besar masyarakat Cina mendapat pendidikan di sekolah Cina, dididik oleh guru-guru orang Cina supaya jangan terlibat dengan gejala judi. Dan saya yakin tiada satu guru di dunia ini yang mengajar murid mereka berjudi. Sudah menjadi amalan dan budaya institusi keluarga orang Cina terutama ibubapa mereka daripada awal lagi mendidik anak mereka untuk menjauhi daripada judi.

Yang terpenting, semua agama termasuk agama dan kepercayaan yang dianuti oleh orang Cina semuanya mengharamkan judi kerana judi satu masalah sosial, satu fenomena tanpa mengira agama, kebudayaan, adab resam, falsafah, bangsa dan negara yang perlu dibenteras oleh umat manusia.

Sebagai kerajaan negeri, tanggungjawab kita bukan hanya untuk mentadbir negeri, berkhidmat kepada rakyat dan ianya juga merupakan tanggungjawab kita seboleh mungkin untuk mendidik masyarakat dengan unsur-unsur dan amalan yang murni dan luhur.

Penyokong-penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang bersama dengan perjuangan PAS sepatutnya memahami PAS merupakan satu gerakan untuk menyebarkan syariat Islam untuk membina satu masyarakat yang adil, saksama kepada umat dan bukan hanya untuk meraih undi tanpa mengambil kira hukum halal dan haram.

Isu tiket loteri ini perlu difahami dengan lebih teliti. Tiket loteri yang diperkenalkan dalam tahun 50-an sudah diswastakan dan hari ini namanya adalah ‘ Big Sweep’ seperti TOTO, Magnum 4 Digit dan sebagainya merupakan judi yang membayar cukai dan lesen kepada Kerajaan Persekutuan seperti jenis perjudian yang lain.

Apa yang masyarakat Cina nilaikan terhadap kerajaan negeri, yang penting adalah ‘good governence’ iaitu kerajaan yang adil dalam semua aspek kepada masyarakat berbilang kaum.

DHPP perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan melalui kerajaan tempatan supaya tidak meluluskan lesen premis perjudian. Inilah perbezaan di antara kerajaan PAS dan Barisan Nasional (BN) yang perlu kita jelaskan kepada masyarakat untuk menjadi pilihan mereka.

Sekiranya dasar kerajaan negeri dikatakan bercanggah dengan dasar perjudian Kerajaan Persekutuan yang membenarkan perjudian dan dasar kerajaan Persekutuan boleh memaksa kerajaan negeri untuk membuka ‘flood gate’ dan membenarkan pelbagai aktiviti perjudian di Kelantan, maka serahlah kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan untuk menjawab di akhirat kelak kerana pimpinan kerajaan negeri telah melakukan segala yang boleh dan termampu dalam hal perjudian ini. 
Sekian, terima kasih.

Dato’ Hj Anuar Tan bin Abdullah
Exco Pembangunan Usahawan, Perdagangan & Perpaduan Masyarakat
merangkap ADUN Kota Lama

Pejabat MMK
Kota Darulnaim, Kota Bharu

12 Rabiulakhir 1432H
17 Mac 2011