Memaparkan catatan dengan label Ku LI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ku LI. Papar semua catatan

26 Oktober 2010

Ku Li tidak bersama pemimpin BN di Galas

Bookmark and Share



GUA MUSANG, 26 Okt — Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah hari ini tidak hadir di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dilihat tidak bersama pemimpin-pemimpin BN yang lain memasuki ke pusat penamaan calon pagi.

The Malaysian Insider difahamkan Tengku Razaleigh bersama dengan penyokong-penyokong BN di luar kawasan pusat penamaan calon.

Menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Mustapha Mohamad, Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” hadir tetapi bersama penyokong di luar.

“Ku Li ada, beliau bersama rakyat di luar.

“Beliau tidak mahu naik, bagi beliau yang lebih penting adalah pengundi. Jadi beliau mahu bersama pengundi,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata Ku Li ada bersamanya di luar ketika calon dan pemimpin memasuki pusat penamaan calon tapi sudah pulang.

“Beliau ada bersama saya pagi tadi, tapi sekarang sudah balik,” katanya.

Dalam pilihan raya kecil DUN Galas, Barisan Nasional meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff sebagai calon manakala PAS pula meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus 27 September lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.


15 Oktober 2010

Terkini DUN Galas: Ku Li tolak jadi calon

Bookmark and Share

Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan Umno bahagian Gua Musang - yang mengadakan mesyuarat khas petang semalam - supaya bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ghani dan disokong oleh ahli jawatankuasa bahagian yang menghadiri mesyuarat khas itu di pejabat Umno bahagian selama kira-kira dua jam mulai 5 petang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mat Yusoff mengesahkan beliau membuat cadangan tersebut dan mendapat sokongan para AJK bahagian.

Bagaimanapun, katanya, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan ketua bahagian berkenaan, meminta mereka memilih calon lain daripada beliau dan dua ADUN dalam Parlimen Gua Musang - Nenggiri dan Paloh.

Mat Yusoff berkata, mesyuarat khas itu turut meneliti senarai calon yang dicadangkan oleh kalangan AJK bahagian, yang turut mengandungi nama Tengku Razaleigh.

Katanya, turut dijemput menghadiri mesyuarat khas petang semalam termasuk di kalangan wakil kerajaan, pegawai lantikan politik, penggawa di bahagian berkenaan.

"Tengku Razaleigh telah memberi kebebasan kepada AJK bahagian untuk menentukan calon BN di Galas. 

"Dan calon pilihan mereka itu akan diserahkan kepada pihak pusat untuk diputuskan.

"Beliau kata walaupun perdana menteri mahu beliau (Tengku Razaleigh) sendiri yang memilih calon, tetapi beliau mahu perdana menteri yang memutuskannya," katanya.

Menurut Mat Yusoff lagi, senarai calon tersebut turut diedarkan kepada mereka yang menghadiri mesyuarat khas semalam untuk mencadangkan calon yang sesuai.

"Dua tiga hari lagi kita tahulah keputusannya," tambah beliau.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Che Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.- Malaysiakini


12 Oktober 2010

DUN Galas: Saya tidak gadai prinsip, kata Ku Li

Bookmark and Share

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Sejak dua minggu lalu, Tengku Razaleigh Hamzah kembali mendapat perhatian dalam arena politik khususnya di kalangan ahli Umno, tetapi semalam beliau memberi mesej — pelantikan beliau sebagai pengarah jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Galas tidak akan mengubah pendiriannya selama ini lantang bersuara membabitkan kepentingan partinya dan juga kerajaan.

Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1969 ini menegaskan, beliau sama sekali tidak dan tidak akan menggadai prinsip dan pendirian dalam mengutarakan perbezaan pendapatnya hanya kerana jawatan pengarah pilihan raya.

Kata Tengku Razaleigh, beliau sentiasa mengutamakan prinsip sedemikian dalam kerjaya politiknya sejak dari dahulu lagi, bukannya hanya sejak kebelakangan ini.

Oleh itu jelasnya, beliau menerima pelantikan sebagai pengarah jentera BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas kerana merasakan mempunyai tanggungjawab demi penduduk bahagian tersebut dan selaku seorang ahli Umno yang setia kepada parti.

Kelihatan relaks dan tenang sepanjang temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider di kediamannya di sini semalam, Tengku Razaleigh memberitahu, beliau tidak rasa tertekan ataupun berada dalam dilema kerana jawatan pengarah jentera.

Musuh-kawan dalam arena politik berubah mengikut hari, kata Ku Li.“Saya merasakan tanggungjawab saya kepada pengundi-pengundi saya di sana, saya pernah berkhidmat di sana sebelum menjadi Ahli Parlimen Gua Musang.

“Saya merasakan terhutang budi untuk menjaga kawasan saya. Itu sahaja.

“Tiada dilema. Saya pasti saya akan memperoleh segala sokongan yang saya harapkan,” tegas Tengku Razaleigh.

Ahli politik veteran ini berkata, beliau menerima jawatan pengarah pilihan raya kerana beliau masih merupakan ahli Umno yang setia dan secara semula jadi mahukan partinya memenangi kerusi Galas.

Buat pertama kali kerusi tersebut dimenangi PAS iaitu pada 8 Mac lalu.

“Akhirnya, ia adalah pilihan raya kecil. Akan ada pihak yang menang dan juga pihak yang kalah,” kata Tengku Razaleigh.

Tengku Razaeligh yang terkenal dengan panggilan mesra “Ku Li”, bukan asing dalam kontroversi dalam partinya sendiri, lebih-lebih lagi beliau kelihatan tidak popular di kalangan ahli-ahli dan pemimpin Umno sejak awal tahun ini.

Bukan sahaja sesetengah ahli dan pemimpin Umno menyisihkan beliau termasuk ketika berusaha untuk mendapatkan pencalonan bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan-pemilihan lalu, malah tidak mendapat ruang dalam media-media dikuasai Umno.

Pada Februari lalu, Tengku Razaleigh berhadapan dengan kritikan pedas daripada pelbagai pihak dalam Umno yang meminta tindakan disiplin dikenakan ekoran pendirian beliau isu tuntutan royalti minyak khususnya yang dibawa kerajaan negeri Kelantan PAS.

Kes itu difailkan pada 30 Ogos lalu.


Pandangan itu turut datang daripada kalangan pemimpin Umno Kelantan dengan ada yang menggesa agar dikenakan tindakan disiplin ke atas Tengku Razaleigh, tetapi beliau terus mempertahankan pendiriannya.

Majlis Tertinggi Umno pula menyerahkan kepada ahli-ahlinya memutuskan tindakan ke atas beliau dan difahamkan ramai tidak bersetuju diambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh.

Apabila diminta mengulas perubahan hati di kalangan pemimpin Umno sejak beberapa hari lalu serta mesej dan hikmah di sebaliknya, Tengku Razaleigh hanya ketawa dan menggeleng kepala.

“Inilah politik di Malaysia... satu hari anda kawan, hari esok anda jadi musuh, dan anda kembali menjadi kawan hari kemudian,” kata anggota kerabat Kelantan ini.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menekankan, pendirian dan prinsip beliau terhadap Umno dan juga kerajaan BN kekal sama tanpa sebarang perubahan meskipun dilantik sebagai pengarah pilihan raya.

“Tidak bermakna bahawa saya akan berubah dalam memberikan pandangan saya. Saya masih kekal dengan itu.

“Saya akan terus mengeluarkan pandangan tidak bersetuju saya ke atas pemimpin kerajaan dan terhadap sesetengah dasar (parti dan kerajaan) yang saya tidak bersetuju.

“Saya tidak akan menggadai prinsip saya (semata-mata) untuk menjadi pengarah pilihan raya, malah saya juga tidak akan menggadai hanya kerana (apa jua) jawatan paling tinggi di muka bumi ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh juga menolak spekulasi bahawa pelantikan beliau sebagai pengarah pilihan raya BN di Galas bertujuan melemahkan atau melenyapkan kritikan beliau yang lazimnya lantang mengutarakan pandangan terhadap Umno, BN dan pentadbiran mereka.

Sambil menambah Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sedar tentang pendiriannya berhubung sesetengah dasar kerajaan dan isu, Ketua Umno Gua Musang ini berkata, beliau tidak meletakkan apa-apa syarat apabila menerima pelantikannya mengetuai jentera pilihan raya DUN Galas.

“Tidak, tidak ada syarat (saya letakkan),” katanya.

“Beliau (Najib) tahu apa pendirian saya. Tidak perlu bagi saya mengulangi. Saya mempunyai pendirian tegas dalam sesetengah isu dan beliau tahu mengenainya... berhubung isu royalti minyak sebagai contoh, Najib pernah bekerja di bawah saya di Petronas, beliau tahu bagaimana saya merasakan,” kata Tengku Razaleigh yang turut mengakui beliau terkejut dengan pelantikan ini.

Katanya, Timblan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menghubungi beliau ketika berada di London minggu lalu.

“Saya terkejut (dengan keputusan melantik) dan saya meminta mereka lantik orang lain, tetapi mereka mengatakan bahawa parti merasakan saya orang paling sesuai,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, sebenarnya beliau ada meminta masa untuk bercakap dengan ahli-ahli akar umbi sebelum boleh mengatakan pendirian mengenai pelantikan tersebut.

Muhyiddin masih berada di Australia.Tengku Razaleigh dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin hari ini selepas beliau pulang dari lawatan ke Australia.

Selepas pertemuan itu beliau akan ke Gua Musang untuk mengatur persiapan menghadapi pilihan raya kecil.

Tengku Razaleigh yang kembali ke tanah air Sabtu lalu telah mengadakan pertemuan dengan Najib yang juga Pengerusi BN di bangunan Parlimen semalam dan menerima surat pelantikan secara rasmi sebagai pengarah jentara pilihan raya BN.

Kali terakhir kedua-dua mereka bersemuka adalah tahun lalu.

Pentadbiran Najib berulang kali menekankan bahawa Kelantan, negeri keempat termiskin, tiada hak untuk mendapatkan royalti memandangkan minyak dihasilkan di kawasan luar pesisir pantai dan ia membabitkan kawasan pembangunan bersama dengan Thailand.

Tengku Razaleigh yang mengasaskan Petronas pada 1974 tidak bersetuju dengan pendirian Putrjaya itu.

Selain isu itu, Tengku Razaleigh, pengerusi pertama Petronas, juga lantang mengkritik Umno, yang memperlihatkan prestasi kurang memuaskan bersama sebahagian besar parti komponen BN pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Dalam pertemuan kali ini, beliau memberitahu, Umno sudah jauh daripada fungsi dan peranan asal yang pernah dimainkan ketika pimpinan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn — masing-masing perdana menteri perdana, kedua dan ketiga.

Pada Julai lalu, beliau juga mengesyorkan agar Umno dan BN menjadi sebuah parti pelbagai kaum menerusi keanggotaan secara langsung.

Najib sebelum ini memberitahu bahawa perkara itu akan dibincangkan ketika persidangan BN akhir tahun ini.

“Saya sudah pun memberikan cadangan saya, perlu ada pembaharuan menyeluruh. Dari segi struktur, Umno mesti berubah dan meminda perlembagaannya untuk menjadi lebih terbuka.

“Umno di bawah Tun Razak dan Tun Hussein Onn sangat diminati dan dihormati. Perjuangan Umno (sekarang) seharusnya berasaskan Umno yang lama — keadilan dan saksama, tidak bersifat melihat diri ke dalam (semata-mata),” katanya lagi.

Meskipun dilihat sebagai orang lama di Gua Musang, Tengku Razaleigh berhati-hati apabila bercakap mengenai peluang kemenangan di Galas.

Katanya, meskipun adalah penting bagi Umno memenangi kerusi itu, ia tidak akan membawa apa-apa perbezaan jika Umno memenangi kerusi tersebut.

“Saya boleh kata Galas adalah penting bagi BN memandangkan ia adalah kerusi berada di kawasan majoriti orang Melayu

“Umno mahu memastikan ia mendapat sokongan daripada orang Melayu sebab ia telah kehilngan sokongan di Kedah, dan juga Kelantan,” katanya.

“Tetapi, pada masa yang sama juga saya boleh katakan tidak. Ia tidak membawa apa-apa perbezaan jika Umno menang ataupun kalah kerana ia tidak akan mengubah kedudukan kerusi di Kelantan. Anda mendapat satu lagi kerusi, anda cuma menambah (sedikit) suara kecil di dewan yang dikuasai PAS.

“Begitu juga, jika PAS memenangi kerusi itu, ia tidak akan membawa sebarang kelainan kepada mereka,” katanya lagi.

Kelmarin, Muhyiddin yang pernah mengulas pendirian Tengku Razaleigh berhubung isu minyak dan idea pembentukan kokus oleh Pakatan Rakyat dengan menjemput Tengku Razaleigh sebagai ketua, menyambut baik pendirian wakil rakyat Gua Musang ini menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya kecil dengan menyifatkannya satu perkembangan yang baik.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, BN dapat membentuk sebuah pasukan yang boleh bekerja keras bagi menentukan kejayaan calon BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Galas manakala penamaan calon pula pada 26 Oktober.

Pilihan raya kecil ke-12 ini diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima pada 27 September akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.


Dun Galas: Ujian buat Ku Li

Bookmark and Share



DUN Galas akan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam masa 60 hari selepas Adunnya Che Hashim Sulaiman meninggal dunia pada 27 September 2010 lalu.

DUN itu mesti diisi dalam masa 60 hari kecuali kekosongan berlaku kurang dua tahun dari tempoh ia matang.

Tentunya PRK itu suatu yang amat sengit justeru Galas adalah satu DUN dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang sejak tahun 1955 ia dikuasai Umno/Perikatan masa itu.

Baru sekali dalam PRU 12 kubu kebal Umno Hulu Kelantan dapat ditembusi PAS iaitu di Galas. Maka PRK ini adalah ujian kepada kekuatan kedua pihak iaitu Umno dan PAS, apakah kekuatan Umno sudah mula merosot di kubu Tengku Razaleigh itu atau PAS benar-benar sudah bertapak di situ?

Apa pun keputusannya nanti tidak banyak mengubah senario politik di Kelantan kerana yang menguasai hati nurani rakyat Kelantan pada keseluruhannya sejak tahun 1959 adalah PAS.

Dengan kekuatan dan kemahiran politik PAS Kelantan yang begitu banyak pengalaman dengan kepimpinan yang padu sejak 50 tahun lalu. Maka tiada dapat menyangka ia boleh dialahkan dalam waktu terdekat.

Justeru itu tumpuan besarnya ialah terhadap Gua Musang itu sendiri. Apakah Tengku Razaleigh masih menjadi tonggap Umno di Kelantan atau Gua Musang masih kebal dengan Umnonya?

PAS boleh dikatakan tidak ada di Kelantan tahun 1955 apa lagilah Gua Musang atau Hulu Kelantan itu tempat jin bertendang dan kawasan hitam yang dipenuhi komunis. Dengan kawasan pilihan raya peringkat Persekutuan yang luasnya kira-kira separuh dari negeri Kelantan tiada terdaya PAS untuk meletakkan calon.

Tetapi PAS yang kosong tahun 1955 menguasai Kelantan tahun 1959. Namun satu kawasan Hulu Kelantan tidak dapat ditembusi PAS. Tengku Indera Putra, bekas Tengku Mahkota Kelantan yang bertukar menjadi orang politik dan ketua Umno Kelantan telah berkubu di kawasan itu.

Pengaruh istana yang begitu kuat di kalanagan penduduk setempat menyebabkan ia tidak dapat ditembusi PAS. PAS boleh bergerak sekencang-kencangnya di Kelantan tetapi tidak di kawasan yang di wakili anak raja sebagai ketua Umno.

Apabila Tengku Indera Putra berundur diganti pula oleh Tengku Razaleigh, juga seorang anak raja yang begitu dekat dengan Sultan. Sehingga hari ini bukan saja ia sukar ditawan PAS, bahkan orang Umno yang bukan kerabat raja tidak dapat menjadi pemimpin Umno setempat.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Presiden Umno, Gua Musang dijadikan bahagian anak angkatnya dengan mengenepikan Tengku Razaleigh, menjadikan Umno seperti kerbau kurus. Ia menuntut pimpinan Tengku Razaleilgh semula.

Dan Gua Musang saja, baik di zaman Tun Abdullah Badawi dan menjelang era Datuk Seri Najib mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden Umno. Tiada siapa dari Umno yang dapat menggantikan Tengku Razaleigh di Kelantan baik Anuar Musa, Mustafa Mohamad mahu Dr. Awang Adek. Tali hayat Umno Kelantan seperti ada ditubuh Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh bukanlah orang yang disenangi oleh Umno Kelantan bahkan oleh Datuk Najib. Tetapi dia tidak boleh diusik di Gua Musang. Mahu tak mahu, Umno tidak boleh menamakan orang lain bagi menjadi pengarah PRK itu, bukan saja kerana keistimewaan yang ada padanya tetapi dia adakah ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Hancur Umno jika ketua Bahagiannya tidak dijadikan pengarah. Sama ada Ku Li masih berguna pada Umno atau tidak, beliau saja yang dapat mengimbangi kebangkitan PAS di DUN Galas.

Ku Li boleh ada dan boleh tidak ada di Manek Urai, tetapi Ku Li tidak boleh tidak ada di Galas. Kalau dia tidak ada, tidak tahulah apa harapan Umno di situ.

Dengan keistimewaan Ku Li pada Umno dan rakyat di Gua Musang, beliau tidak dapat menyelamatkan Umno di Galas pada pilihan raya umum 2008. Ketika itu dia hanya dapat menyelamatkan dirinya saja. Kuatnya gelombangan serangan PAS, menyebabkan Ku Li mengambil strategi kalau tidak dapat pertahankan semua kerusi di kawasan itu, jangan hilang semua.

Gua Musang mengekalkan Tengku Razaleigh tetapi tidak terdaya menyelamatkan Galas. Justeru itu Umno tidak yakin calon lain selain beliau untuk bertanding di Galas. Calon lain belum tentu.

PAS tahu akan payahnya menghadapi pilihan raya kecil. Walau pun banyak calon Pakatan memenangi PRK selepas PRU 12, tetapi payahnya tetap ada. Memang kehadiran Ku Li itu menambah kepayahan bagi mempertahankan kerusi itu tetapi yang benar diuji adalah Ku Li. Jika Ku Li tidak banyak membantu Umno kali, maka masa depan PAS di Gua Musang akan bertambah selesa. -Harakah


11 Oktober 2010

Dun Galas: Dijangka Ku Li tidak menerima pencalonan

Bookmark and Share




KUALA LUMPUR: Walaupun masih belum jelas siapa calon terbaik Umno, Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar dengan yakin meramalkan bahawa Razaleigh Hamzah akan menolak, jika beliau dicalonkan.

Ini kerana putera Kelantan itu telah menerima jawatan pengarah jentera pilihan raya. Secara tradisi, kata Kamaruddin, pengarah pilihan raya pada masa yang sama tidak akan menjadi calon.



"Kekecewaannya sebagai pengarah pilihan raya Galas memberi isyarat jelas bahawa beliau akan menolak pencalonan. Pada kebiasaannya, pengarah pilihan raya tidak akan dipilih sebagai calon," kata pemimpin PAS itu.

Kamaruddin bekata, "sentimen yang kuat tentang Razaleigh akan menjadi calon hanya taktik Umno untuk mengalih pandangan orang ramai terhadap masalah dalaman Umno."

Bagaimanapun, Kamaruddin memuji perlantikan Ku Li sebagai pengarah pilihan raya kerana beliau akan memastikan kempen berjalan dengan "adil, bersih dan saksama," tanpa dicemari dengan politik wang.

"Jika tuntutan ini dipenuhi, maka ia sejajar dengan prinsip Ku Li," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Jika Razaleigh menolak pencalonan itu, Umno diramalkan memilih Setiausaha Bahagian Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof sebagai calon.

Nafi laporan

Sementara itu, Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditemui para pemberita, menafikan laporan menyatakan beliau menerima pencalonan itu.

"Tidak, tidak, tidak. Tiada keputusan yang dibuat. Tiada keputusan berhubung hal ini (pada mesyuarat dengan perdana menteri sebelum ini)," katanya.

Beliau memberitahu bahawa mesyuarat itu hanya menyentuh mengenai persiapan jentera Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Galas.

Apabila ditanya sama ada Umno telah menyenarai-pendek pilihan calon, Razaleigh menjawab, "belum lagi."

"Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri dan diharap pada masa yang sesuai selepas mesyuarat perwakilan Umno (minggu depan)," katanya.

Adalah dilaporkan sebelum ini bahawa BN hanya akan mengumumkan nama calon pada 24 Oktober ini, dua hari sebelum hari penamaaan calon.

Bagaimanapun, ramai pemimpin Umno yakin Razaleigh yang menjadi ahli parlimen Gua Musang sejak 1969, adalah calon yang terbaik untuk mencerahkan peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi itu dari PAS yang menawannya dengan majoriti tipis 646 undi pada 2008.

Pilihan raya kecil ditetapkan pada 4 November depan dengan hari penamaaan calon pada 26 Oktober ini.

Kerusi itu menjadi kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri PAS, Che Hashim Sulaima.

-Free Malaysia Today


Dun Galas: percalonan Ku Li masih jadi tanda tanya

Bookmark and Share

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah hari ini untuk secara rasmi memaklumkan Ahli Parlimen Gua Musang mengenai pelantikannya sebagai pengarah jentera Barisan Nasiona (BN) di Galas tetapi tiada keputusan dibuat mengenai pemilihan calon.

“Berkaitan dengan soal calon, kami akan memaklumkan pada masa yang sesuai nanti, bukannya sekarang,” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas pertemuan tersebut di bangunan Parlimen pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menggambarkan Tengku Razaleigh sebagai calon terbaik bagi Galas, salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Tengku Razaleigh telah menyatakan kesediaan untuk mengetuai jentera BN dan akan memobilisasikan jentera kami untuk memastikan kemenangan BN,” kata Najib.

“Saya juga memberi jaminan bahawa jentera nasional akan memberikan sokongan sepenuhnya,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Najib mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu untuk membincangkan calon bagi pilihan raya kecil Galas.

Kelmarin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pertemuan kedua-dua mereka akan turut membincangkan mengenai strategi yang akan digunakan bagi memenangi kerusi tersebut setelah Tengku Razaleigh menyatakan persetujuannya untuk menjadi pengarah pilihan raya itu.

Tengku Razaleigh yang pulang ke tanah air kelmarin dari London mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi DUN Galas.

Bagaimanapun beliau berkata, cadangan untuk menamakan beliau sebagai calon perlu dibincangkan dengan Najib yang juga Pengerusi BN terlebih dahulu.

Calon BN akan diumum pada 24 Oktober ini iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim Sulaima dari PAS dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Muhyiddin sebelum ini pernah berkata apa yang penting ialah calon BN itu mestilah mengenali pengundi, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, berhemah, berakhlak dan sudah lama berkecimpung dalam bidang politik.