Pro M Menang - Mahasiswa mahu perubahan!!! ~ Pro Pas Blog

23 Februari 2011

Home » , , » Pro M Menang - Mahasiswa mahu perubahan!!!

Pro M Menang - Mahasiswa mahu perubahan!!!

Bookmark and Share



KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyifatkan kemenangan besar Pro Mahasiswa (Pro M) di Universiti-universiti awam utama di Malaysia bukti jelas gelombang kebangkitan mahasiswa yang mahukan perubahan.

Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, keputusan itu juga menunjukkan mahasiswa hari ini mengutamakan kebebasan memilih wakil mereka dan menolak calon-calon yang hanya menjadi pak turut kepada pihak pentadbiran Universiti.

“Antara faktor kemenangan besar calon-calon Pro M ialah kerana kesedaran mahasiswa kini yang mahukan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) mampu menyuarakan tuntutan mereka dan bukannnya MPM yang hanya berperanan sebagai ahli jawatankuasa pihak pengurusan universiti.

“Mahasiswa juga menuntut sistem pilihan raya yang bebas, adil dan telus,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau mengulas kemenangan besar calon-calon pro M pada Pilihan Raya Kampus kali ini apabila berjaya menawan dua Universiti awam, masing-masing di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, Pro-M juga mencatat kejayaan memberangsangkan di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Di UM yang merupakan Universiti tertua di Malaysia, pro Mahasiswa membolot 23 daripada 36 kerusi dipertandingkan. Manakala di UKM, kumpulan tersebut mengakhiri kemarau tujuh tahun apabila berjaya menumpaskan Pro Aspirasi dengan kemenangan 22 daripada 37 kerusi.

Di USM, strategi Pro M yang tidak bertanding pada PRK lalu bagi memperkuatkan jentera, amat berbaloi kali ini apabila menang 14 kerusi seterusnya mempertingkatkan imej dan moral kumpulan itu di kalangan mahasiswa.

Di UPM, walaupun kumpulan Aspirasi menang 31 kerusi, Pro M memperbaiki kedudukannya apabila berjaya memenangi 12 kerusi berbanding 10 sebelum ini.

Shazni yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) berkata, secara keseluruhan Pro M berjaya memperbaiki kedudukan mereka kali ini.

“Dalam keadaan sistem pilihan raya yang tempang, pengurusan universiti berpihak kepada kumpulan tertentu, alhamdulillah gelombang kesedaran di kalangan mahasiswa terus meningkat dan semakin terkeluar dari zon selesa.

“Jelas mahasiswa yang juga anak muda mahukan pembaharuan dan revolusi yang berlaku di Timur Tengah yang dicetuskan anak muda sedikit sebanyak membantu menyedarkan anak muda Malaysia untuk bangkit memperjuangkan hak mereka,” tegasnya yang juga ahli Majlis Sekretariat Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku (GMMA) selain pernah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Shazni turut mengingaktkan Pro Mahasiswa supaya tidak lalai dengan kemenangan itu yang akan dijadikan kesempatan sesetengah pihak untuk melemahkan gerakan pro mahasiswa.

“Kemenangan Pro M khasnya di UM sebenarnya bukan sekadar kegembiraan tetapi lebih kepada ‘kejutan’ kerana di awal penamaan calon, kita tertinggal jauh di belakang selain kekangan berkempen dihadkan dengan pelbagai peraturan yang berat sebelah,” ujarnya.


keadilandaily.com


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih