Nazri Aziz cabar DSAI berdebat ~ Pro Pas Blog

12 Januari 2011

Home » , , , » Nazri Aziz cabar DSAI berdebat

Nazri Aziz cabar DSAI berdebat

Bookmark and Share



Nazri kepada Anwar: Debat dengan saya sebelum cabar Najib

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

Nazri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai “Pelan 100 Hari” pakatan pembangkang berikutan kenyataan Najib yang membidas pelan itu sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

“Jangan jadi pengecut. Suruh dia jawab isu Apco dulu dan debat dengan saya dulu,” kata Nazri dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide, sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa mempunyai kaitan dengan penubuhan gagasan 1 Malaysia dan kempen ‘One Israel’, walaupun kerajaan mendedahkan dokumen yang menafikan dakwaannya tersebut.

Berikutan kegagalan Anwar untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya di persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang lepas, beliau telah digantung daripada menghadiri persidangan itu untuk enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong.

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tindakan Anwar mencabar PM hanyalah gimik lama dan hanya mahukan publisiti.

“Saya tidak fikir PM akan jatuh dalam perangkap ini. Anwar dalam keadaan tersepit akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyanggah data dan informasi ataupun usaha Perdana Menteri dalam apa-apa hal.

“PM melahirkan hujah yang menyakinkan dalam apa yang dilaksanakannya dalam tempoh setahun lebih. Kita sudah yakin bahawa informasi itu boleh dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini hari ini.

Rais berkata semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, lonjakan saham tidak pernah mencapai 1,500 mata, dan kini pendapatan orang kampung pun semakin meningkat dengan kenaikan harga getah sehingga RM12 sekilogram baru-baru ini.

Anggota Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula berkata Najib tidak perlu melayan kehendak Anwar kerana Anwar bukan seorang pakar ekonomi atau pakar kewangan, malah tidak ada pengalaman dan juga kelulusan.

“Tak perlu PM masuk perangkap politik Anwar. Anwar hanya berlagak pandai dan dia adalah pakar putar alam,” dakwanya.

Apa yang penting ialah Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai apa jua rasa tidak puas hati yang tercetus, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu.

Sementara itu Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin berkata cabaran Anwar untuk berdebat dengan Najib mengenai polisi ekonomi, dilihat sebagai satu usaha terdesak.

Katanya, Anwar tidak perlu untuk berdebat memandangkan rakyat kini lebih cenderung menonton majlis yang berbentuk forum perdana.

Di IPOH, Pergerakan Pemuda Umno Perak menyifatkan cabaran Anwar itu merupakan taktik murahannya untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap krisis peribadinya sendiri.

Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata sekiranya Anwar benar-benar mahu berdebat, beliau sewajarnya menerima pelawaan Ketua Pergerakan Umno Khairy Jamaluddin.

Pergerakan Pemuda Umno Perak menyokong penuh cabaran Khairy untuk berdebat mengenai isu pelaksanaan pendekatan ekonomi yang termaktub dalam Pelan 100 Hari pakatan pembangkang, katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda Umno Hishamudin Yahya pula berkata pelawaan Anwar itu tidak perlu dilayan sebaliknya Najib perlu terus memastikan semua program yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Daripada segi pendekatan ekonomi, beliau berkata walaupun Anwar telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, namun beliau masih gagal mempamerkan ‘kehebatan’ menarik pelabur luar negara ke negeri itu. – Bernama


1 Ulasan :

Tanpa Nama berkata... [Balas]

KHAMIS, JANUARI 13, 2011
Umi Hafilda Cabar Anwar, Azmin Debat Kes Liwat 1998
18:56 SUNGAI RAPAT ONLINE NO COMMENTS



PETALING JAYA: Selepas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat, muncul pula Umi Hafilda Ali membuat cabaran sama kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Umi Hafilda yang merupakan saksi utama kes perbicaraan liwat melibatkan Anwar pada tahun 1998 itu turut mencabar abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali untuk turut serta dalam debat itu.

Beliau mendakwa, debat berkenaan bagi menjelaskan kebenaran semua fakta yang dibongkarkan 13 tahun lalu yang dikatakan fitnah.

"Selama 13 tahun saya mendiamkan diri dan pelbagai perkara buruk terpaksa saya telan dan sudah tiba masanya saya menegakkan kebenaran dan membersihkan nama saya.

"Kalau benar saya menfitnah mereka, saya cabar mereka untuk berdebat dengan saya. Buktikan kepada semua rakyat negara ini bahawa semua kata saya adalah fitnah," ujarnya.

Beliau membuat cabaran itu pada satu sidang media yang diadakan di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai mengapa beliau mengambil masa selama tiga belas tahun untuk bertindak, Umi berkata, selama ini dirinya bersabar kerana mendengar nasihat ibunya yang tidak mahu melihat mereka adik beradik mengeruhkan hubungan yang sedia buruk.

Namun katanya, kemunculan semula dirinya bukan untuk mencari publisiti tetapi adalah untuk membersihkan namanya dan tidak mahu masyarakat Melayu dan negara ini terus tertipu dengan propaganda pihak tertentu.

Umi turut mencabar Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk melakukan sumpah di dalam masjid bagi menafikan semua dakwaan terhadap suaminya itu.

Umi mendakwa Wan Azizah tahu mengenai suaminya dan hanya mendiamkan diri bagi kepentingan politik.

"Dia tahu siapa 'anugerah' itu yang sebenarnya dan segala aktiviti yang dilakukan. Jika semua dakwaan itu tidak benar saya cabar dia (Wan Azizah) bersama-sama Anwar dan Azmin untuk bersumpah di dalam masjid sambil menjunjung Al-Quran jika mereka berada di pihak yang benar," katanya.

Pada sidang media yang sama, Umi yang ditemani peguam peribadinya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengesahkan akan meneruskan saman RM700 juta terhadap lima individu yang dinamakan sebelum ini.

Mereka adalah Anwar dan Azmin (RM300 juta), Karpal Singh (RM200 juta) serta Wan Azizah dan parti Pas masing-masing RM100 juta.

Menurut Umi, pihaknya sedang menguruskan dokumentasi perundangan kes itu dan akan menfailkannya dalam masa terdekat.

"Kita akan maklumkan pada media mengenai saman itu dan yang pasti dalam masa terdekat ini," katanya.

Umi turut memberitahu, semua bukti dan saksi-saksi penting akan dibawa ke mahkamah pada perbicaraan itu nanti.

Malah katanya, akan ada kemungkinan beliau akan memanggil ahli keluarganya sendiri sebagai saksi pada perbicaraan itu nanti.

"Saya ada bukti dan saksi yang tidak mereka jangkakan. Kita tunggu dan lihat," ujarnya.
Posted in:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih