Keputusan FAM Tidak Adil ~ Pro Pas Blog

21 Oktober 2010

Home » , , » Keputusan FAM Tidak Adil

Keputusan FAM Tidak Adil

Bookmark and Share





KOTA BHARU – Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menyifatkan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden pergaduhan penyokong Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu, sebagai berat sebelah.

Dalam mesyuarat yang berlangsung di Wisma FAM Selasa lalu, pihak JKPT FAM telah memutuskan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) bersalah berikutan insiden Selasa lalu.

FAS didenda RM67,500 manakala Kafa RM57,500, dengan kedua-dua pihak terpaksa berkongsi membayar kos kerosakan di stadium itu.

Presidennya, Marhasim Mat berkata, hukuman tersebut sudah dijangka memandangkan kedua-dua penyokong terbabit terbukti melakukan kesalahan serius sepanjang musim ini, tetapi pihaknya tidak menjangka jumlah begitu tinggi dikenakan kepada pihak Kafa.

Menurutnya, kawalan keselamatan menjadi tanggungjawab tuan rumah dan Selangor dilihat gagal menepati kriteria apabila menyediakan tempat duduk yang terhad kepada penyokong Kelantan sedangkan jumlah sebenar yang hadir begitu ramai.

“Kita diberi ruang begitu kecil berbanding kapasiti besar stadium itu mengakibatkan kedua-dua penyokong pasukan ‘berperang’ dengan membaling pelbagai objek serta mercun kerana jarak yang terlampau dekat memudahkan provokasi berlaku.

“Mengapa pasukan pelawat dikenakan denda yang tinggi sedangkan tanggungjawab keselamatan gagal dilaksanakan pasukan tuan rumah, kita mahu pihak FAM bersikap adil dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Kelate.Net turut mempersoalkan ketelusan badan induk bola sepak kebangsaan itu yang dilihat menutup mata tentang insiden membaling batu ketika perlawanan antara Perlis dan Negeri Sembilan di Stadium Utama Negeri, Kangar pada suku akhir kedua 16 Oktober lalu.

“Bukti rakaman sudah ada, jadi saya berharap pihak FAM mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

“Selaku badan induk bola sepak kebangsaan yang dibarisi pemimpin baru, saya harap pihak FAM tidak mengamalkan sikap pilih kasih dan perlu telus dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya.

Menurutnya, musim lalu, penyokong Kelantan diserang dan cermin kenderaan dipecahkan penyokong liar Perlis sejurus tamat perlawanan separuh akhir kedua di Kangar, namun tiada tindakan diambil terhadap mereka.


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih