FAM sentiasa mencari kelemahan KAFA ~ Pro Pas Blog

20 Oktober 2010

Home » , , » FAM sentiasa mencari kelemahan KAFA

FAM sentiasa mencari kelemahan KAFA

Bookmark and Share



Dalam Kegembiraan KAFA mengadakan persiapan meraikan kemeriahan perlawanan separuh akhir 2010, persiapan ini terjejas teruk apabila dikejutkan dengan denda yang dikenakan FAM sebanyak RM50,000 denda + RM7,500 baiki kerosakan akibat segelintir penyokong The Red Warriors yang masih degil dan ganas. Rekod bersih daripada denda FAM semasa saingan liga super 2010 telah tercemar dengan denda ini dan aksi yang tidak pernah dilihat dalam sejarah bolasepak Malaysia apabila ada dikalangan penyokong Kelantan melancarkan mercun roket pada petugas awam.

Insiden ini telah menyebabkan KAFA kerugian lagi walaupun wakil KAFA saudara Izuan (DJ Big E) dan CEO KAFA Tuan Hashim serta pengurus KAFA Azman Ibrahim telah membawa bukti bergambar mangsa rakyat Kelantan yang dipukul, perempuan yang sarat mengandung dipukul, penyokong Selangor membawa buluh ke stadium dan pelbagai lagi kesalahan yang dipaparkan, namun ianya tidak dapat menghalang KAFA daripada dikenakan denda.

Inilah senario bolasepak Kelantan, KAFA sering menasihati penyokong berkerjasama dalam usaha mengurangkan keganasan dan tidak terperdaya dengan provokasi penyokong lawan serta yang memeritkan KAFA masih ada lagi yang membawa mercun ke stadium. Adakah mereka ini memang suka KAFA didenda? atau mereka suka seluruh penyokong Kelantan dilabelkan penyokong ganas yang tidak bertamadun? maka bolehlah mencari kesalahan orang lain untuk menuding jari dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Sampai kiamat pun ianya tidak akan berkesudahan sehinggalah pasukan Kelantan bertemu balik dengan pasukan lawan terbabit dan berlaku lagi keganasan dan provokasi.

Sikap ingin menjadi "penyokong pelik" di kalangan penyokong lain sememangnya bagus dan boleh diterima tetapi pelik kita itu, biarlah yang tidak menjahanamkan harta benda awam, tidak menggangu ketenteraman penyokong kita sendiri seperti ada yang melaporkan ada penyokong kita rambutnya terbakar sedikit apabila mercun roket yang dipasang melintasi kepalanya begitu juga dengan insiden membaling mercun bola apabila ada aduan, mercun ini nyaris terkena anaknya. Insiden ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya kita memikirkan hak dan keselamatan orang lain untuk menyaksikan perlawanan tanpa gangguan yang membahayakan. Kita datang untuk melihat pemain kita beraksi bukannya kita turut beraksi menggangu suasana perlawanan.

Teguran ini sekadar renungan bersama dan bukannya untuk memburukkan imej penyokong sendiri yang tetap mengutuk bersama untuk tidak menerima kritikan berat sebelah media terhadap penyokong Kelantan sahaja. Kita juga tidak dapat menerima keputusan yang diputuskan FAM kerana denda ini terlalu mahal dan tidak sepatutnya pasukan pelawat dikenakan denda sedangkan pengurusan stadium dan FAM sendiri tidak pernah bersungguh-sungguh menangani keselamatan dan keganasan di stadium.

Sudah tiba masanya FAM memberi pengiktirafan kepada kelab-kelab penyokong yang ditubuhkan oleh sukarela peminat bolasepak tempatan kerana kelab-kelab ini boleh menjadi pengantara bagi menangani permasalahan dan persengketaan diantara penyokong. Salah satu sebab mengapa bolasepak Malaysia masih dianggap mundur ialah kerana pasukan Malaysia tiada komuniti penyokong yang diiktiraf badan induk FAM, sepertimana yang berlaku pada Harimau Malaya dan pelbagai lagi kelab penyokong. Dengan ini FAM sentiasa dilihat sebagai badan penjatuh hukuman sahaja tanpa ada sebarang usaha meningkatkan kualiti sokongan penyokong dan keselamatan stadium.

  

Kami menyeru seluruh penyokong Kelantan memulihkan kembali imej KAFA dan orang Kelantan yang tercalar teruk ini. Usahlah kita saling menyalahkan diantara satu sama lain sedangkan hati dan emosi kita masih dibelenggu dendam. Jadikanlah kerugian KAFA akibat denda ini, kematian 2 insan setia kita dan kecederaan penyokong kita sebagai pengajaran kepada kita supaya tidak lagi datang ke stadium untuk memberi masalah diantara satu sama lain. Biarlah bolasepak kita terus maju bersama keceriaan seluruh hati rakyat Kelantan bukannya terus memberi kesedihan kepada ibu bapa yang melahirkan penyokong tegar kita. Jika tahun lepas KAFA didenda lebih RM200 ribu dan menerima kesedihan seorang ibu yang anaknya buta sebelah mata, kini perkara ini berulang lagi, KAFA turut menerima musibah yang sama dan meratapi kesedihan seorang ibu yang kehilangan anak dan lebih ramai ibu yang sedih anaknya yang dipukul.


Oleh itu, KAFA menasihati para penyokong yang berkonvoi ke Alor Star hari ini dapat membantu KAFA dalam usaha mengelakkan berlakunya sebarang keganasan, pergaduhan dan provokasi di stadium sana nanti. Beri tumpuan dan fokus dalam membantu dan memberi semangat kepada kesebelasan utama pemain kita. InsyaAllah kami yakin pasukan yang ada sekarang pasti akan memberikan kita keceriaan.Ayuh kita jadikan stadium Nasional Bukit Jalil milik kita lagi tahun ini.

BERSAMA-SAMA KITA DOAKAN KEPADA ALLAH SWT SEMOGA KEMENANGAN BERPIHAK PADA KITA. SEMOGA PERJALANAN KITA PERGI DAN BALIK DILINDUNGI OLEH ALLAH SWT.AMIN


http://www.theredwarriors.com/v2


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih