Dun Galas: tunggu kejutan Ku Li ~ Pro Pas Blog

08 Oktober 2010

Home » , » Dun Galas: tunggu kejutan Ku Li

Dun Galas: tunggu kejutan Ku Li

Bookmark and Share

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Umno Gua Musang telah merangka strategi awal “Gempur Galas” untuk merampas balik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang “dipinjamkan” kepada PAS dan menanti arahan pengarah pilihan raya Umno-BN Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengatur langkah susulan.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Gua Musang dan Ahli Parlimennya dijadual pulang ke tanah air pagi esok.

Timbalannya Mat Yusoff Abdul Ghani berkata segala persediaan awal sedang giat dilakukan dan kini hanya menunggu arahan Tengku Razaleigh.

“Dalam mesyuarat dengan empat peringkat cawangan semalam (kelmarin) kita hanya mengagihkan peruntukan kepada peti-peti undi untuk menjalankan kerja-kerja awal termasuk pasang bendera dan kaji sikap pengundi.

“Sebelum pengarah pilihan raya balik, kita akan menjalankan kerja-kerja awal supaya selepas ini mudah kita terus mengambil langkah seterusnya.

“Kita telah sediakan jentera di Galas, kita juga telah bersedia untuk gempur dan rampas semula kerusi Galas yang sebelum ini kita bagi pinjam kepada PAS,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri itu berkata sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu beliau telah mengarahkan ahli Umno cawangan Galas itu untuk memulakan tugas.

“Sekarang ini kita menunggu arahan selanjutnya daripada pengarah pilihan raya yang akan pulang pada 9 Oktober (esok) ini.

“Bila wisel dibunyikan kita akan mula bergerak untuk merampas semula DUN Galas,” katanya.

SPR telah menetapkan hari penamaan calon 26 Oktober manakala pengundian akan diadakan 4 November.

Umno-BN melantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim dari PAS akibat barah usus, Isnin minggu lalu.

Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

DUN Galas mempunyai seramai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Pecahan peratus pengundi adalah Melayu terdiri daripada 61.63 peratus, Cina 20.08 peratus, India 1.6 peratus, Bumiputera 0.9 peratus, orang Asli 16.37 peratus dan lain-lain 0.23 peratus.

Ketika ditanya mengenai soal calon Umno-BN di DUN Galas, Mat Yusoff berkata segalanya akan terjawab apabila Tengku Razaleigh pulang nanti.

“Soal calon kita tunggu Tengku Razaleigh balik dulu, saya tidak boleh nak komen apa-apa lagi pasal ini,” katanya.- themalaysianinsider


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih