DAULAT TUANKU.
Apakah patut kerana bola, Institusi Raja-Raja dihina sebegitu rupa. Ke mana hilangnya penghayatan terhadap salah satu daripada Rukun Negara, Kesetiaan Kepada Raja & Negara, apakah yang mendorong penyokong bolasepak ini, untuk mengeluarkan kata-kata kesat sedemikian.
Apa yang pasti, perkara ini ketika tidak lagi membabitkan pertelingkahan antara dua kumpulan penyokong bolasepak yang mana lazimnya popular dengan provokasi sebelum dan selepas permainan, mainan psikologi dan sebagainya. Ia bukan sahaja menghina Institusi Kesultanan, tetapi juga rakyat Kelantan secara umumnya, pada ketika sukan seharusnya dilihat sebagai wadah paling tepat mengeratkan perpaduan sesama rakyat.
Walhal bukan Melayu pun tahu menghormati adat dan Institusi Raja-Raja, tetapi sebagai seorang melayu, penghinaan sebegini melambangkan betapa rendahnya mentaliti dan akhlak anda. Jangankan Kelantan, penulis yakin rakyat mana-mana negeri sekalipun tidak dapat menerima penghinaan sebegini.
Suara Sukan tidak mahu mengapi-apikan perkara ini, namun ingin menasihatkan pencinta sukan, termasuk dari kalangan rakyat Kelantan sendiri, usah jadikan sukan sebagai platform untuk mencetus provokasi melampau, bergaduh, menghina sesama kita. Tidak salah memberi sokongan, tetapi biarlah secara bijak dan berhemah, biar apapun sebabnya. Jangan kerana mulut, badan binasa.
Terima kasih.
7:38:00 PTG
Unknown

Posted in


