Jala ikan, dapat mortar ~ Pro Pas Blog

06 Februari 2011

Home » , » Jala ikan, dapat mortar

Jala ikan, dapat mortar

Bookmark and Share

SIMPANG KERAYONG – Kelekaan seorang penduduk menangkap ikan di sebuah sungai, dekat sini terhenti seketika apabila satu objek pelik tersangkut pada jalanya, semalam. 

Lebih mengejutkan, apabila objek tersebut sebenarnya sebuah bom mortar berukuran kira-kira 0.2 meter yang dipercayai masih aktif. 

Panik dengan keadaan itu, Hamdan Misnoh, 41, menguatkan semangat dengan meletakkan bom mortar yang dijalanya ke atas tanah sebelum bergegas memanggil saudaranya. 

Pekerja kilang itu berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, dia amat terkejut mendapati sebuah bom tersangkut dalam jalanya bersama hasil tangkapan lain. 

“Sewaktu menarik jala, saya melihat terdapat sebutir bom mortar turut tersangkut dalam jala. 

“Saya menggangkatnya dari sungai ke tebing dan meletakkannya di atas tanah sebelum memanggil saudara yang juga merupakan bekas anggota tentera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian. 

Hamdan berkata, selepas saudaranya itu mengesahkan bom seberat kira-kira dua kilogram itu masih aktif, dia kemudian bertindak menghubungi balai polis berhampiran. 

Sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Melaka tiba ke tempat kejadian sejurus selepas itu untuk menyiasat dan memusnahkan bom mortar berkenaan. 

Bagaimanapun, Hamdan berkata, dia bersyukur kerana bom berkenaan tidak meletup semasa tersangkut pada jalanya. 

Dia turut menyifatkan insiden ‘menjala’ bom mortar itu sebagai satu kenangan buatnya sejak 30 tahun menjala ikan di sungai tersebut. 

“Biasanya, memang banyak hasil tangkapan di sungai ini selepas hujan. Sudah lebih 30 tahun saya menjala di sungai ini bersama datuk sewaktu kecil dahulu. 

“Sepanjang itu, saya tidak pernah jangka akan menjumpai bom di tempat saya mencari rezeki ini,” katanya.


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih