Artikel berkaitan BN digesa henti ugut pengundi Melayu KUALA LUMPUR, 27 Jan: Umno dan BN diakui sedang menekan para pengundi di Dun Tenang dengan menggunakan taktir kotor dengan membuat pelbagai ugutan kepada para pengundi di kawasan itu agar tidak menyokong PAS. Perkara itu didedahkan sendiri oleh para pengundi di kawasan itu ketika ditemui petugas-petugas PAS dalam kempen pilihanraya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini. Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Siti Zailah Mohd Yusof menjelaskan, kebanyakan para pengundi yang menjadi mangsa ugutan itu terdiri daripada pengundi-pengundi Melayu terutama yang tinggal di kawasan Felda. Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima oleh beliau daripada petugas-petugas PAS di Tenang, para pengundi terbabit sememangnya cenderung untuk menyokong PAS, tetapi mereka takut berbuat demikian disebabkan ugutan-ugutan daripada para pemimpin Umno atau BN yang dikenakan dalam pelbagai bentuk. "Antaranya, ada yang diugut akan ditarik balik pencen, anak-anak mereka yang bekerja akan ditukar kerja ke tempat lain yang berjauhan dari kawasan itu, bantuan kebajikan akan ditarik balik dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Politik ugutan itu dimainkan oleh Umno atau BN disebabkan mereka sendiri menyedari kedudukan para pengundi di Dun Tenang sekarang yang lebih memihak kepada PAS. "Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak kita, saya berani mengatakan kemenangan sebenarnya sudah berada di pihak PAS jika mereka mengadakan pertandingan di padang yang rata. "Sokongan orang-orang Cina dan India kepada PAS atau Pakatan Rakyat di kawasan itu sekarang sememangnya memberangsangkan, manakala sokongan daripada orang-orang Melayu pula semakin meningkat. "Tetapi disebabkan mereka menggunakan taktik kotor terutama politik ugutan, pengundi-pengundi Melayu di kawasan itu menjadi takut untuk menampakkan sokongan mereka kepada PAS, termasuk takut untuk menaikkan bendera PAS dan menampakkan reaksi cenderung kepada PAS," katanya yang juga ahli parlimen Rantau Panjang. Sungguhpun begitu, beliau yakin, pengundi-pengundi Melayu akan sedar tentang kepentingan mereka memberikan undi kepada PAS pada hari mengundi nanti, sekiranya mereka terus didekati oleh para petugas PAS dan diberikan penjelasan yang secukupnya tentang kelebihan perjuangan PAS berbanding Umno BN. Dari tinjauan yang dilakukan oleh para petugas PAS juga, katanya, para pengundi Melayu di kawasan itu juga ternyata tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno di Johor termasuk di kawasan itu kerana masih amat banyak isu-isu rakyat yang gagal diselesaikan, walaupun Umno BN telah memerintah negeri itu sejak lebih 50 tahun lalu. Selain politik ugutan, Siti Zailah turut kesal dengan para pemimpin Umno BN yang masih terus menerus memainkan politik wang dalam pilihanraya Dun Tenang, walaupun ia sudah diketahui umum salah dari segi undang-undang. -Harakah |
0 Ulasan :
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih