Tiada salah Pas jadi ketua ~ Pro Pas Blog

11 Oktober 2010

Home » , , » Tiada salah Pas jadi ketua

Tiada salah Pas jadi ketua

Bookmark and Share

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Dewan Pemuda PAS membidas pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden MCA yang cuba memberi gambaran salah khususnya kepada masyarakat Cina berkenaan kemungkinan yang bakal berlaku jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara.

Sehubungan itu, Ketua Penerangannya Suhaizan Kaiat berkata, persoalan sekarang apa masalah Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan pemimpin BN yang lain jika PAS menjadi “kapten PR” satu hari nanti.

“Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung MCA kali ke-57 semalam beliau telah menyatakan bahawa jika PR memerintah, maka PAS akan menjadi kaptennya.

“PAS akan membawa dasar-dasar autokratik dan kembali kepada perjuangan asalnya. Ucapan ini disampaikan di hadapan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN serta para pewakilan MCA seluruh negara,” kata beliau sambil menekankan bahawa dasar PAS adalah Islam.

“Semenjak ditubuhkan 59 tahun dahulu hingga ke hari ini dasar PAS tidak pernah berubah,” katanya mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin BN semalam secara terbuka menzahirkan isyarat bahaya di kalangan pengundi Cina dengan menegaskan sebarang sokongan kepada PR hanya akan membuka ruang kepada PAS mengepalai ikatan muda itu.

Dr Chua memberi amaran, meskipun PAS memperlihatkan kesederhanaan parti Islam itu pasti tidak akan mengetepikan “pendirian autokratik Islam” jika PR menguasai Putrajaya.

“Kami merasakan jika Pakatan berkuasa, PAS akan berada di tempat kapten.

“PAS tidak akan melupakan dasar autokratik Islam dan jangan terkejut jika PAS memperoleh kuasa, ia akan kembali keterbelakang,” tegas Dr Chua.

Pada perhimpunan MCA semalam, Datuk Seri Najib Razak menyertai Dr Chua dengan memberi amaran kepada pengundi Cina bahawa tidak mungkin PAS akan mengubah pendiriannya.

“Dr Chua betul dalam memperingatkan anda bahawa mereka (PAS) tidak menyerah dalam pendirian negara Islam mereka. Dan, saya pasti jika ia dilaksanakan, ia akan mengubah cara hidup anda dan memberi kesan ke atas masyarakat Cina,” kata Najib.

Justeru tegas Suhaizan, Islam adalah agama universal dengan kebaikan yang dibawa oleh Islam adalah untuk seluruh manusia tidak kira agama mahupun bangsa.

“Buktinya sekitar kampung Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sendiri di Batu Pahat, masyarakat Cina boleh tinggal dengan selamat dan berniaga bersama orang Melayu yang beragama Islam.

“Bilangan masyarakat Cina tidak sampai 10 peratus di perkampungan tersebut tetapi mereka boleh hidup selesa.

“Islam menjamin keselamatan semua umat manusia. Jika terdapat kelemahan bukanlah disebabkan oleh Islam tetapi disebabkan oleh penganutnya yang tidak melaksanakan Islam yang sebenar.

Beliau juga menyoal berapa ramai orang Cina di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tertindas semasa pemerintahan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Altenatif dan PR dari 1990 hingga sekarang.

“Jika Islam itu zalim, maka PAS sudah menindas masyarakat bukan Islam sejak 1990.

“Jika Islam itu tidak bertamadun, maka sudah beribu orang bukan Islam yang dibunuh oleh PAS.

“Islam melarang memaksa orang lain untuk menganut agama Islam. Hak memilih agama adalah hak masing-masing,” kata beliau sambil menambah agama bukan untuk ikut-ikutan tetapi diikat dengan keyakinan teguh dalam hati yang ikhlas.

Katanya, Dr. Chua pernah menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Johor, Ahli Parlimen Labis dan Pengerusi MCA Batu Pahat.

“Sudah tentunya beliau mendapat gambaran Islam daripada daripada Tan Sri Muhyidin bin Mohammad Yassin (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Abd. Ghani Othman (Menteri Besar Johor).

“Saya kira Datuk Seri Dr Chua belum mendapat gambaran Islam sebenar daripada PAS khususnya PAS Johor.

“Saya mencadangkan kepada beliau agar mendapatkan maklumat Islam sebenar daripada anak-anak Johor seperti Datuk Mahfoz Muhammad (Pesuruhjaya PAS Johor), Sallehuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Mazlan Aliman (ahli jawatankuasa kerja PAS pusat) dan lain-lain lagi. Mungkin adalah lebih mudah berbicara tentang Islam yang sebenar sesama anak Johor sendiri,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, kata Suhaizan, PAS tidak mampu menggubal sebarang undang-undang Islam jika rakyat tidak menyetujuinya.

Katanya, PAS mengambil pendekatan mendidik terlebih dahulu terhadap prinsip-prinsip keadilan yang terdapat dalam Islam kepada seluruh rakyat Malaysia.

“PAS yakin suatu masa nanti rakyat Malaysia akan terbuka hatinya untuk menerima undang-undang Islam.

“Hati manusia sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya adalah milik Allah S.W.T. Dialah yang membuka hati atau menutup hati rakyat Malaysia. PAS berserah sahaja kepada Allah S.W.T setelah berusaha mendidik rakyat memahami keadilan dalam Islam,” katanya lagi.

Katanya, Islam menentang perkauman sempit selain melarang umatnya berlaku zalim dan menafikan hak orang bukan Islam.

“Umno adalah parti perkauman. Datuk Seri Dr. Chua, jangan mengambil contoh pegangan agama Islam daripada Umno,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar pemimpin Umno gagal menunjukkan ciri-ciri Muslim yang sebenar.

“Sebelah tangan memegang Islam sementara sebelah tangan lagi menerima rasuah. Dalam Islam tidak boleh bercampur antara yang baik dengan yang jahat.

“Parti perkauman seperti Umno tiada panduan yang jelas tetapi PAS jadikan al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad sebagai panduan yang jelas.

“Ini termaktub dalam perlembagaan PAS. Tidak ada satu ayat al-Quran yang menindas orang bukan Islam,” kata beliau sambil mencabar agar Dr. Chua terjumpa satu ayat al-Quran yang menindas orang bukan Islam sila kemukakan dengan segera.

“Dalam Islam tiada halangan bagi orang bukan Islam melaksanakan ibadat dan amalan masing-masing seperti meminum arak, memakan daging kinzir dan lain-lain.

“Pernahkah Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek melihat orang alim yang melarang penjualan daging khinzir kepada masyaraka Cina di kampung-kampung sekitar Batu Pahat.

“Mereka bebas melakukan aktiviti perniagaan ini. Itulah ajaran Islam sebenar. Islam hanya melarang penjualan barang terlarang seperti arak dan daging khinzir kepada orang Islam sahaja,” katanya.


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih