SPR sekat penyokong, elak provokasi ~ Pro Pas Blog

25 Oktober 2010

Home » , , » SPR sekat penyokong, elak provokasi

SPR sekat penyokong, elak provokasi

Bookmark and Share


Timbalan setiausaha, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Noordin Che Ngah mengingatkan penyokong parti supaya tidak hadir terlalu ramai ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas yang berlangsung esok.

Beliau juga mengingatkan supaya semua pihak yang bertanding mematuhi laluan yang ditetapkan bagi penyokong parti masing-masing.

Katanya, penyokong PAS akan berkumpul di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra manakala penyokong calon BN berkumpul di bilik gerakan parti di Bukit Cekati.

Kedua-dua belah penyokong juga akan dipisahkan sejauh 180 meter di hadapan pusat penamaan di Dewan Sivik bagi mengelakkan pertembungan di antara kedua-dua belah pihak, katanya lagi.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti tindakan membaling botol di antara penyokong yang berlaku dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat kepada petugas media di Kesedar Inn, Gua Musang pagi ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya hanya calon yang benar-benar serius untuk bertanding sahaja hadir untuk mengemukakan pencalonan mereka kali ini.

"Kita tidak mahu berlaku seperti dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor yang dakwa dia tidak dapat hadir awal sebab dihalang oleh polis," katanya.

Calon bersama penyokong dan pencadang masing-masing perlu hadir ke pusat penamaan itu dalam tempoh yang ditetapkan antara jam 10 hingga 11 pagi, katanya lagi.


Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka menyaksikan pertarungan dua calon yang dekat di hati rakyat serta berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Gua Musang.

BN memilih Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi menteri kewangan.

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku yang dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 4 November itu.

Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih