FAM teratas dari segi pengurusan?? ~ Pro Pas Blog

19 Oktober 2010

Home » » FAM teratas dari segi pengurusan??

FAM teratas dari segi pengurusan??

Bookmark and Share

KUALA LUMPUR -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menduduki tangga teratas kategori amalan tadbir urus persatuan terbaik dalam senarai tujuh daripada 22 persatuan sukan di negara ini.

Bekas Pesuruhjaya Sukan Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf berkata selain FAM, enam persatuan lain ialah Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Golf Malaysia (MGA), Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

"Kesemua tujuh persatuan itu berada dalam kategori A atau diberikan markah melebihi 80 peratus dalam penilaian tadbir urus yang dijalankan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PSS) sejak awal tahun ini sehingga Ogos," kata Nik Mahmud kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Nik Mahmud tamat kontraknya pada Khamis lepas selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan bagi menggantikan tempat Tan Sri Elyas Omar pada 14 April 2008.

Beliau berkata penilaian yang dijalankan oleh PPS ke atas 22 daripada 26 persatuan kebangsaan di sekitar Lembah Klang tertumpu kepada aspek pelaksanaan urus tadbir persatuan yang merangkumi perjalanan dan pematuhan perlembagaan, mesyuarat agong, bajet, laporan kewangan serta aktiviti yang dijalankan.

Menurutnya persatuan dalam kategori B atau mendapat markah melebihi 70 peratus ialah Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM).

Persatuan dalam kategori C atau mendapat 55-69 peratus markah ialah Persekutuan Gimnastik Malaysia sementara Persatuan Bola Baling Malaysia berada di kategori D atau mendapat 40 peratus markah.

Dua persatuan yang berada di kategori E atau mendapat kurang 39 peratus markah ialah Persatuan Baseball Amatur Malaysia dan Persatuan Mendayung Malaysia sementara persatuan lain berada di kategori yang lebih rendah.

Nik Mahmud berkata berdasarkan penilaian yang dijalankan itu, masalah utama yang dihadapi oleh persatuan ialah tahap pematuhan terhadap perlembagaan serta perkara yang diputuskan pada mesyuarat agong.

"Daripada kesemua persatuan yang dinilai itu, hanya tujuh persatuan dalam kategori A atau 34 peratus daripada 22 persatuan yang mempunyai tahap pematuhan yang tinggi," katanya.

Pada tahun lepas, katanya, hampir setengah daripada persatuan sukan kebangsaan tidak menghantar laporan tahunan kepada PPS.
Beliau berkata laporan penilaian tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan sebagai asas untuk sistem rating yang bertujuan menilai persatuan bagi tujuan pemberian peruntukan pada tahun hadapan. -- BERNAMA


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih