Dun Galas: Perkasa tak mahu campur tangan ~ Pro Pas Blog

10 Oktober 2010

Home » , , » Dun Galas: Perkasa tak mahu campur tangan

Dun Galas: Perkasa tak mahu campur tangan

Bookmark and Share




KUALA LUMPUR, 10 Okt — Perkasa yang pernah terlibat dalam kempen beberapa pilihan raya kecil secara aktif tidak akan membantu calon Barisan Nasional (BN) di Galas kali ini, keputusan yang dipercayai diambil ekoran kontroversi berhubung kerjasama dengan Umno-BN baru-baru ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya tidak akan terlibat dalam apa jua bentuk kempen sebagai entiti, tetapi membenarkan ahli-ahlinya, yang sesetengah mereka merupakan anggota parti-parti politik, membantu parti masing-masing atas kapasiti ahli parti mereka.

“Perkasa tidak akan terlibat dengan apa jua kempen di Galas... tapi ahli Perkasa secara individu atau yang menjadi ahli kepada mana-mana politik parti, adalah hak masing-masing, begitu juga saya,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini dalam satu kenyataan.

Ibrahim tidak menggariskan sebab Perkasa mengambil tindakan ini.

PAS dan Umno melihat pilihan raya kecil ini sangat penting kepada mereka.

Ibrahim pernah menjadi ahli Umno dan telah memenangi kerusi Parlimen Pasir dengan menggunakan simbol PAS pada 8 Mac 2008.

Pengarah jentera BN di DUN Galas Tengku Razaleigh Hamzah pula merupakan bekas ketuanya ketika menganggotai Parti Melayu Semangat 46.

The Malaysian Insider difahamkan ia ada kaitan dengan kontroversi membabitkan Ibrahim dengan beberapa pemimpin kanan Umno dan BN sejak Jun lalu.

Ketika ada dakwaan bahawa pendirian Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa membela hak orang Melayu dan Bumiputera ini, membawa elemen-elemen rasis, mereka juga menggesa agar Umno menjauhkan diri daripada Perkasa.

Mereka bimbang Perkasa boleh menghakis sokongan kepada BN dalam pilihan raya termasuk pilihan raya kecil.

Sebelum ini, Perkasa menafikan dakwaan sedemikian atas alasan ia hanya ditubuhkan dua tahun lalu, sebaliknya kemerosotan sokongan kepada BN adalah kerana masalah dalaman parti-parti komponen BN.

Perkasa pernah aktif berkempen ketika pilihan raya kecil DUN Manek Urai Julai 2009 dan seterusnya di DUN Sungai Pinang di Negeri Sembilan.

Penyertaan Perkasa ketara ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan mengadakan bilik gerakan khas. Ia tidak terlibat secara langsung di Sibu, Sarawak Mei lalu.

Dalam kenyataannya kali ini, Ibrahim kelahiran Kelantan memberitahu, sekiranya beliau pergi meninjau atau memberi pendapat ketika kempen pilihan raya kecil DUN Galas, ia adalah atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas dan bukan atas nama presiden Perkasa.

“Tegasnya, Perkasa atas nama organisasi tidak akan terlibat dgn sebarang kempen,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini dengan penamaan calon pada 26 Oktober.  _themalaysianinsider


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih