Dun Galas: Ku Li bukan ancaman tapi tersepit himpit oleh UMNO ~ Pro Pas Blog

10 Oktober 2010

Home » , , » Dun Galas: Ku Li bukan ancaman tapi tersepit himpit oleh UMNO

Dun Galas: Ku Li bukan ancaman tapi tersepit himpit oleh UMNO

Bookmark and Share

BANDAR BARU BANGI, 9 Okt – PAS menyifatkan pengesahan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau menerima pelantikan sebagai pengarah menunjukkan beliau “tersepit” sambil perlu memikul tanggungjawab berat dalam mengetuai Umno-BN menghadapi pilihan raya kecil Galas.

Sambil menegaskan penerimaan Tengku Razaleigh bukan sesuatu yang mengejutkan, pengerusi jawatankuasa strategi PAS bagi pilihan raya kecil DUN Galas, Datuk Halim Abdul Rahman berkata, beliau melihat menjadi satu obligasi bagi Ahli Parlimen Gua Musang itu menerima jawatan tersebut.

Malah kata beliau, kenyataan Tengku Razaleigh pagi tadi bahawa beliau menerima pelantikan sebagai pengarah juga tidak akan memberi “impak dan bukan satu ancaman” kepada PAS dalam bersaing mempertahankan kerusi Galas yang pertama kali dimenangi dua tahun lalu.

“Bagi PAS ia (kedudukan Tengku Razaleigh sebagai pengarah) tidak akan memberi impak, biasa saja... kami melihat peluang 50:50,” kata Halim sambil merujuk kepada “fenomena 2008” di mana selain PAS memenangi kerusi Galas, Tengku Razaleigh juga gagal mengatasi calon PAS dari segi undi popular dalam saingan peringkat Parlimen.

“Kami PAS, ia tidak ada kesan... tidak ada ancaman kepada PAS, dia orang yang sama sahaja,” katanya lagi.

Halim juga berkata, beliau melihat Tengku Razaleigh tiada pilihan kecuali menerima pelantikan pengarah selaku ketua Umno bahagian dan Ahli Parlimen Gua Musang.

“Saya percaya dia tidak boleh kata tidak, dia kena terima. Ia satu obligasi, kalau tidak terima ia (akan kelihatan sebagai) tidak setia, kewajiban terima.

“Tetapi kalau (dilantik) calon, dia boleh tolak. Itu hak dia.

“Sebagai pengarah, dia kena terima sebab (menggambarkan) sikap yang betul dan tanggungjawab,” kata Halim kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di sini hari ini.

Halim, bekas timbalan menteri besar Kelantan berkata, beliau melihat adalah sesuatu yang ganjil jika Tengku Razaleigh menerima kedua-dua jawatan sebagai pengarah dan juga sebagai calon.

Ramai masih menyebut dan berteka-teki Tengku Razaleigh akan menjadi calon Umno-BN.

“Bukan perkara biasa orang jadi pengarah jadi calon... kalau terima calon, tak patut jadi pengarah.

“Bagaimanapun kita serahkan kepada kebijaksanaan Ku Li,” kata beliau mengulas kenyataan rasmi pertama Tengku Razaleigh sebaik sahaja kembali dari London pagi tadi.

Tengku Razaleigh berkata, beliau menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas.

Katanya, ia merupakan tanggungjawab sebagai ahli Umno dan Ketua Umno Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, persoalan sama ada dilantik sebagai calon tidak timbul kerana beliau perlu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta bermesyuarat mengenai perkara itu Isnin depan.

Mengenai pendirian PAS bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Tengku Razaleigh berkata, beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.

Bagaimanapun, kata beliau, pandangan Umno juga perlu dihormati oleh parti Islam itu.

Halim juga menolak tanggapan bahawa pihaknya berhadapan dengan tekanan dengan pelantikan Tengku Razaleigh.

“Oleh kerana kami turun sebagai underdog, kami tidak risau... pada kami yang tertekan ialah Umno, Tengku Razaleigh sendiri sudah tertekan.

“Kalu tidak menang, sakit beliau. Itu tekanan kalau beliau gagal,” kata Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa._ Themalaysianinsider


0 Ulasan :

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawati blog ini. Terima kasih juga saya ucapkan, kerana memberikan ulasan dan kritikan membina. Segala saranan tersebut akan saya teliti dan dilaksanakan jika perlu. Selain itu juga, anda boleh menghantar email kepada saya yang beralamat rajabudaklestari@yahoo.com. Di sini juga, saya menegaskan bahawa, saya tidak akan bertanggungjawab jika ada ulasan-ulasan yang berunsur fitnah, hasutan, perkauman dan juga bahasa kesat. Sekian terima kasih